Berbuka tuak, bersahur tahi

Berbuka tuak, bersahur tahi

Loading...
Membaca artikel ini membuatkan aku tersenyum sorang=sorang,apa tidak...jangan tak tahu yang sebenarnya nama kuih muih di Terengganu/Kelantan sememangnya pelik dan aneh.Bagi penduduk dari luar negeri Terengganu mahupun Kelantan pasti terlopong bila mendengar nama kuih tersebut.
Aku c/pastekan artikel dibawah..
Baca...:)

Pelik: Berbuka tuak, bersahur tahi
Saya di Kuala Terengganu semalam untuk turut menceriakan Bazar Ramadan di Ibu Negeri Penyu itu. Seperti biasanya pada bulan puasa sebelah petang kesesakan lalu-lintas menggamatkan lagi suasana.

Setelah hampir sejam terperangkap dalam kenderaan untuk menuju ke Pasar Batu Enam yang terkenal dengan berbagai juadah berbuka, saya akhirnya berpatah balik ke pusat bandar dan terpaksa berpuas hati dengan bazar di Dataran Shahbandar.

Sambil berdoa kenderaan tidak disaman, saya berasak dengan ribuan manusia lapar untuk meninjau beraneka juadah yang dijeritkan oleh beratus-ratus gerai. Sebut sahaja apa kata selera, mudah-mudahan boleh dapat di sini.

Akhirnya isteri saya menemukan apa yang dihajatkan sejak bertolak dari Kuala Lumpur, iaitu ‘tahi itek’, sejenis kuih tradisional penuh nostalgia yang pernah menggamatkan percintaan kami kira-kira tiga dekad lalu.

Pada temu janji pertama sebagai ‘kawan biasa’ dia mengajak saya ke Batu Enam untuk mencari tahi itek. Mak tuan, memang satu dugaan, mengapa dia menguji saya dengan benda busuk lagi menjijikkan ini.

Setelah bertengkar agak panas, dan tiba di pasar itu, baru saya mengetahui bahawa tahi yang dicari itu ialah sejenis kuih manis yang menjadi kegemaran ramai warga ‘Ganu Kite’. Dan ‘cinta tahi itek’ itu kekal hingga sekarang!

Selain tahi itek (harap-harap nama asal ini tidak ditukar!), bazar Shahbandar menawarkan berbagai-bagai kuih tradisional yang bunyinya kedengaran pelik pada telinga orang luar. Kalau hendak dinilai dari segi nama, paling mahal tentu sekali ‘jala emas’. Mungkin hanya seorang dua laksawan @ ‘billionaire’ dalam dunia mampu membeli jala emas.

Nombor dua paling mahal mungkin ‘kayu keramat’. Tahi itek tentu paling murah, mungkin hanya pekebun sayur sanggup membelinya untuk buat baja. Tetapi kalau banyak duit pun saya tidak akan membeli sama ada jala emas atau kayu keramat.

Saya lebih suka ‘puteri mandi’! Apalah nilai jala dan kayu jika dibandingkan puteri yang sedang mandi. Saya sanggup menyerahkan jiwa dan raga jika dapat mandi dengannya. Tetapi kena hati-hati, sebab dalam kolam yang sama mungkin ada ‘badak berendam’! Begitulah hebatnya kuih-muih tradisional Terengganu.

Kalau ikutkan hati memang semuanya membuka selera, rasa hendak beli semua. Kami membeli nasi dagang, nasi minyak gulai daging, sotong sumbat, ikan bakar berempah, telur itik masak lemak pekat, dan buah mata kucing.

Akhirnya sebab banyak sangat yang dibeli, ketika berbuka tahi itek hanya disentuh sedikit sahaja. Oleh sebab tidak mahu dikategorikan dalam ‘sahabat syitan’ kami makan tahi itu ketika bersahur.

Puasa dan makanan mengingatkan juga kenangan saya tinggal setahun di Pengkalan Chepa, Kelantan empat tahun dulu, ketika mula-mula menerbitkan Sinar Harian – motonya ketika itu ‘Akhbar Orang Pantai Timur’.

Dalam letih dan dahaga hari pertama puasa, seorang wartawan bertanya sama ada saya hendak minum ‘tuak’ untuk berbuka puasa. Tuak? Tentu sekali saya berasa telah dipermainkan, malah dihina. Saya baru setahun bergelar ‘haji’ dan dia menawarkan saya air haram itu.

Saya terbayang tuak atau ‘todi’, sejenis arak murah yang dulu-dulu kerap dikaitkan dengan kaum tertentu di Sentul, KL. Setelah minum tuak atau todi, mereka akan mabuk dan tidur bergelimpangan di kaki lima atau di perhentian bas.

Kemudian baru saya tahu, dan malu sendiri. Tuak yang dimaksudkan oleh kakitangan saya itu disebut ‘nira’ di Negeri Penyu, iaitu sejenis minuman yang diambil dari mayang @ bunga kelapa. Memang menjadi kegemaran orang di negeri Cik Siti Wan Kembang untuk berbuka puasa dengan tuak.

Seperti yang dilaporkan media, jualan air tuak meningkat berkali ganda sepanjang bulan puasa di dua negeri berjiran itu. Malah ada yang meninggalkan pekerjaan biasa pada bulan al-Mubarak ini untuk menumpukan usaha mencari dan menjual tuak.

Bagi yang tidak faham tentu sekali kedengaran pelik: di Negeri Penyu orang berbuka makan tahi itek, di Serambi Mekah orang berbuka minum air tuak. Inilah yang dikatakan ‘pelik tetapi benar’ dan menjadikan kehidupan ‘1Malaysia’ penuh warna-warni.

Dan kehidupan itu menjadi lebih warna-warni, apabila tahun ini ada orang Melayu cuba mencatat rekod negara sebagai ‘kumpulan Islam pertama berbuka puasa di dalam gereja’.

Tentu sekali rekod seperti ini tidak termasuk dalam NKRA ‘Malaysia Boleh’.

Ditulis oleh:Abd Jalil Ali


P/s jangan tak tahu,kuih yang disebut oleh penulis diatas sememangnya sedap...x caye??...datang Terengganu...rasailah sendiri kelazatan kuih taik itik...mmmm
Kuih taik itik

dan ini resepinya...
* putih telur setengah kilo (ditapis dengan kain)
* setengah cawan tepung
* 1 cawan gula
* bunga cengkih 5 - 6 kuntum
* daun pandan 3 helai disimpul
* minyak mazola setengah cawan


Cara membuatnya:

1. Masukkan kesemua bahan di atas, kecuali minyak mazola. kepok² biar sebati.
2. Masak menggunakan api yang sederhana.
3. Sentiasa kacau agar tidak hangit.
4. Bila dah hampir kental, masukkan minyak mazola.
5. Kacau lagi hingga kental sempurna.
6. Asingkan daun pandan dan bunga cengkih.
7. Bentukkan ikut suka hati. Kuih ori macam gambar ni.. Tapi kalau nak bentuk lain pun boleh.. Mengikut kretiviti anda dan senang nak makan.. hehehe..

Catat Ulasan

0 Ulasan