HIDUP JANGANLAH MENYUSAHKAN ORANG LAIN

HIDUP JANGANLAH MENYUSAHKAN ORANG LAIN

Loading...

Semangat betul Puan Jun memasak untuk hidangan berbuka puasa nanti. Kalau boleh, semua lauk dan sayur dalam peti ais mahu dimasak masakan istimewa. Kueh pula, tak cukup talam, tak cukup kukus nak diguna, semata-mata mahu suami tercinta dan anak-anak lelakinya makan sedap setelah seharian berlapar dahaga. Waktu berbuka, tak cukup meja hendak diletakkan makanan. Itu belum masuk makanan dan kueh mueh yang dibeli dari bazaar Ramadan.

Sebaik azan berkumandang, semua membaca doa dan menyuap kurma. Puan Jun sibuk menuang air dan menyenduk nasi. Tapi terlopong bila si suami dan anak lelakinya bangun dan keluar rumah. Ingatkan nak ke surau, rupa-rupanya berkejar menyedut asap maut! Terkilan betul hati Puan Jun. Kudrat yang dihabiskan sepanjang hari untuk lelaki-lelaki kesayangannya itu rupa-rupanya tak dihargai pun. Batang tembakau pembawa maut itu juga yang enak dilayan oleh anak beranak itu.

Tak kisahlah nak sedut asap maut ke, asap ekzos ke, sakit nanti tanggung sendiri, kubur kita lain-lain kan? Iya memanglah sakit tanggung sendiri. Tapi yang tak sedapnya, masa sakit tu menyusahkan orang lain. Siapa yang menjaga masa sakit nanti kalau bukan mak atau isteri juga. Kemudian membebankan mereka pula dengan pelbagai masalah, terutama masalah kewangan. Nak bayar duit bil hospital lagi, nak cari duit lagi, yelah, dah sakit, nak kerja macam mana? Terpaksalah orang yang tak sakit dan yang hidup berhempas pulas menanggung segala penderitaan itu.

Kalau sakitnya sekejap saja, ok lah. Tapi buatnya sakit itu berpanjangan hingga bertahun-tahun… orang sihat yang menjaganya pun, boleh jatuh sakit. Sakit sebab tak cukup rehat kerana menjaga orang yang sakit, sakit sebab masalah kewangan, sakit sebab berhadapan dengan ahli keluarga lain yang mungkin menimbulkan pelbagai desakan dan persoalan. Tapi percayalah, seorang ibu dan isteri sanggup berkorban apa saja untuk suami tercinta dan anak tanpa mengharapkan balasan.

Tapi bro, kalau ya pun ibu atau ada ahli keluarga yang sanggup berkorban untuk kita, janganlah sambil kesempatan pula. Cubalah jadi insan yang menyenangkan semua orang terutama orang tersayang. Ramadan yang kita lalui ini boleh merubah tabiat dan sikap negatif kepada positif dan menyenangkan semua pihak. Cubalah…

1. Jagalah kesihatan diri sendiri. Katakan TIDAK pada rokok dan alkohol. Anda sihat, orang-orang tersayang juga gembira. Jadikan Ramadan ini waktu untuk membuang tabiat ketagih merokok. Memang bukan mudah tetapi tak cuba, tak tahu bukan? Percayalah, banyak kebaikannya jika anda berhenti merokok.
2. Hargailah semua orang terutama yang rapat dengan anda. Gembirakan mereka semampu yang boleh. Tak perlu tabur wang ringgit untuk gembirakan ibu, bapa, isteri atau kekasih hati jika tak mampu. Cukuplah selalu bertanya khabar dan sesekali membelanja makan. Paling tidak, masakkan untuk mereka ketika berbuka. Pasti meriah dan berbeza suasananya dari biasa.
3. Berpuasa dengan ikhlas. Berbuka secara sederhana. Semua ini akan mengajar anda untuk mengawal nafsu dan emosi dari sebarang perkara yang tak elok.
4. Lakukan ajaran Islam sebenarnya dengan ikhlas.
5. Jadilah pekerja yang hebat dengan segala kebaikan. Pasti kejayaan mengiringi anda.
6. Maafkan semua orang, terutama musuh kita. Hati akan lega, perasaan juga akan damai dan tidak resah.
7. Senyum selalu.

Ini hanyalah sedikit yang mampu dilakukan untuk tidak menyusahkan orang lain. Bukan cuba menjadi bagus menasihat dan menimbulkan persoalan sebegini. Tetapi kerana saya tersedar apabila ke hospital baru-baru ini. Saya dapati baik di wad pesakit lelaki atau wanita, yang menjaga kebanyakannya wanita-wanita kesayangan mereka. Kalau di wad wanita, jarang melihat orang lelaki yang menjaga mereka. Tetapi kalau di wad lelaki, hampir 90% wanita yang menjaganya. Jadi, apa ertinya?

Dalam hidup kita, mungkin segalanya berputar kepada satu perkataan, KEHENDAK. Jika kehendak mengatakan ‘tidak’ untuk menjadi seorang yang baik, maka jadilah dia orang yang tak baik, dan sebaliknya. Dari kehendak itulah,semua perkara boleh berlaku. Jadi, setkan dalam minda dan jiwa anda untuk mempunyai KEHENDAK yang besar dan baik. Dan berusahalah untuk mencapainya.

Catat Ulasan

2 Ulasan

jerit kat sini