Loading...
“Ya Allah, aku mohon keampunan-Mu atas semua dosa-dosaku. Terimalah taubatku ini. Peliharalah aibku. Sesungguhnya aku amat menyesali segala perbuatan burukku. Aku telah menzalimi diriku sendiri. Sebanyak mana pun air di laut dan hujan di langit, tidak akan dapat membasuh semua dosa-dosaku ini, jika tanpa izin-Mu. Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Pengampun. Limpahkan rahmat ampunan-Mu ke atas ku. Ya Allah, jangan ambil nyawaku selagi tidak terhapus dan diampunkan dosa-dosaku. Aku ingin kembali dalam keadaan fitrahku yang bersih putih. Jemputlah aku ke rumah-Mu ketika ada rezeki kesihatan, rezeki kewangan dan rezeki kelapangan. Jemputlah aku! Jemputlah aku! Jemputlah aku!...”
Setiap hari kita diburu penyesalan dan dihimpit ketakutan. Kita menyesal kerana telah berbuat dosa dan takut kalau-kalau dosa itu tidak diampunkan Tuhan. Inilah suara hati kita yang mahu bertaubat. Kemuncaknya kita mahu membuat pengakuan taubat itu di depan Allah SWT, di rumah-Nya di Baitullah. Namun, masih banyak lagi orang yang tidak takut melakukan maksiat walaupun usia sudah merangkak senja. Apa lagi kalau si pembuat maksiat itu merasakan hidupnya tiada harapan mendapat keampunan. Mereka tetap meneruskan gaya hidup yang penuh kemaksiatan dan keburukan itu. Ini memberi gambaran orang yang putus harapan, seolah-olah hidupnya sudah tidak bererti lagi. Cuba pandang di sekeliling kita. Tidak sedikit orang berusia kearah usia senja bergaya seperti anak muda. Umur sudah mendekati ajal, namun gaya tidak ketolongan. Meski sudah berkedut, maksiat tetap tak surut. Rambut sudah beruban buat-buat tak perasan. Tua-tua keladi, kata pepatah, makin tua makin menjadi-jadi. Rumah kata pergi, kubur kata mari namun bukannya insaf tapi malah melekat dengan maksiat.
Sebaliknya, jika yang tua makin menjadi-jadi, yang muda pula bagaikan tidak memiliki hati. Mereka tahu apa yang dilakukan itu tidak elok dan merugikan, tetap saja menutup mata dan hatinya hanya untuk terus memenuhi dahaga nafsunya. ‘Muda foya-foya, Tua kaya-raya, Mati masuk Syurga” – itu pula yang dijadikan gurauan... Jangan haraplah nak masuk syurga kalau hidup bergelumang dosa!
0 Ulasan
jerit kat sini