Loading...
Terserempak pemandu selubung putih pandu Ford Laser kuning Di Dungun
LAZIMNYA apabila tiba musim cuti perayaan atau persekolahan, ramai orang akan pulang ke kampung halaman. Apatah lagi minggu lalu cuti Aidiladha bersambung pula dengan musim cuti sekolah.
Kesesakan lalu lintas adalah perkara biasa yang dialami jika tiba musim cuti begini. Begitu juga dengan Mohd Ali, 41, yang selalunya akan pulang ke kampung halaman isterinya di Kuala Terengganu.
“Saya tinggal di Johor Bahru. Selalunya kalau tiba cuti raya atau cuti sekolah, kami akan pulang ke kampung isteri di Kuala Terengganu tapi, sehingga kini ada satu peristiwa yang masih menjadi tanda tanya pada saya,” ujar Ali.
Kata Ali, kejadian yang dialaminya ini berlaku lima tahun lalu. Ketika itu cuti hari raya Aidiladha. Ali sengaja memanjangkan waktu cutinya kerana tidak mahu pulang dalam kesesakan jalan raya.
Kebiasaannya, Ali memang lebih suka memandu jauh pada waktu malam. Cuaca lebih sejuk dan jalan lengang. Sebab itu dia memilih bergerak pulang ke Johor dari kampung isterinya pada waktu lewat malam.
Inilah laluan yang dikatakan terdapat Ford Laser kuning (foto kiri) manakala foto kanan pula kereta Volkswagen kuning yang pernah dikaitkan dengan misteri lebih kurang serupa di lebuh raya di Ipoh suatu ketika dahulu.
Ali masih ingat, malam itu sudah lebih pukul 12 malam. Dalam kereta selain isterinya di sebelah, dua anaknya sudah lena di kerusi belakang. Dia memandu melalui jalan dari Kuala Terengganu menuju ke arah Dungun.
“Ketika sedang memandu itu, dari jauh saya lihat ada sebuah kereta yang bergerak perlahan di hadapan. Rasanya kereta itu dipandu dalam kelajuan 40 kilometer sejam. Memang perlahan walaupun jalan lurus dan lengang,” cerita Ali.
Memandangkan kereta itu dipandu terlalu perlahan, Ali terus memecut dan memotong kereta tersebut. Sempat Ali perhatikan kereta yang dipotongnya itu, sebuah Ford Laser sedan model lama berwarna kuning.
Ali terus memecut mengikut kelajuan yang ditetapkan, 110 kilometer sejam. Namun, lebih kurang lima kilometer kemudian, sekali lagi Ali memperlahankan keretanya apabila ada sebuah kereta di hadapan yang dipandu begitu perlahan. Hendak memotong, ada pula beberapa buah kereta dari arah bertentangan.
Semasa berada di belakang kereta itulah, baru Ali berasa pelik melihat kereta yang terhegeh-hegeh di depannya itu. Bukankah itu kereta Ford Laser kuning yang baru dipotongnya sebentar tadi?
“Saya dah mula rasa pelik masa tu... Tambahan pula bila isteri di sebelah pun tanya perkara sama, bukan itu kereta yang kita potong tadi? Saya hairan juga, macam mana kereta yang perlahan tu boleh ada di depan kami semula.
"Tapi saya cuba tak nak fikir bukan-bukan. Saya anggap mungkin ada kereta lain jenis model yang sama,” cerita Ali.
Pelbagai kisah berlaku ketika melalui lebuh raya.
Apabila jalan sudah clear, Ali pun memecut untuk memotong Ford kuning itu. Dan ketika memotong itu, dia dan isterinya sempat menoleh sekilas untuk melihat siapa yang memandu kereta kuning tersebut. Lelaki? Perempuan? Orang tua?
Namun, sebaik melihat ke arah pemandu kereta itu, mereka suami isteri tergamam. Meremang bulu roma mereka dibuatnya.
Pun begitu, Ali dan isterinya masing-masing diam tidak berkata apa-apa. Hanya selepas jauh meninggalkan kawasan tersebut, lebih kurang 15 minit kemudian, barulah isterinya bertanya; “Awak nampak tak pemandu kereta kuning tadi?"
Kata isterinya, dia lihat pemandu itu berkain selubung putih yang berikat di bahagian kepala, macam bunjut pocong. Wajahnya tidak jelas tetapi nampak hitam saja.
Ali mengangguk. Apa yang digambarkan isterinya, itulah juga yang disaksikannya. Memang dia juga lihat kepala pemandu Ford kuning itu terikat seperti kain kapan orang mati. Wajahnya hanya tampak hitam, tidak berupa.
Nak kata khayalan, bukan Ali seorang yang melihatnya, bahkan isterinya pun lihat benda yang sama. Takkan mereka berdua berkhayal? Apa yang mereka nampak memang jelas sebab tingkap kereta Ford bahagian pemandu itu terbuka luas.
Sampai sekarang Ali tertanya-tanya siapa yang memandu kereta Ford Laser kuning misteri itu. Manusia, jin atau hantu?
Cuma yang jadi persoalan Ali sampai sekarang, apakah ada pemandu lain yang juga pernah bertembung dengan kereta misteri itu di laluan yang sama? Jika ya, adakah mereka juga nampak pemandunya seperti yang dialami Ali dan isterinya?
Dia juga teringat kisah hampir serupa iaitu Volkswagen kuning di sebuah lebuh raya di Perak yang pernah menjadi bualan orang suatu ketika dahulu.
0 Ulasan
jerit kat sini