Loading...
Berlian Rosmah
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuji tindakan polis yang membuka kertas siasatan susulan laporan dibuat Datin Seri Rosmah Mansor terhadapnya.
Menurutnya, ia menunjukkan polis tidak terikat dengan kehendak politik walaupun laporan dibuat oleh bukan pemimpin kerajaan.
Katanya, situasi itu berbeza dengan keadaan sebelum ini apabila beliau disiasat dalam perkara yang berkepentingan awam.
“Apabila pihak yang tewas (iaitu Umno) membuat laporan terhadap seorang pemimpin Pakatan Harapan, walaupun ia berkenaan kes yang sudah diketahui umum (berlian dan barang kemas), pihak polis tetap membuka kertas siasatan untuk menyiasat saya. Ini yang sepatutnya berlaku.
“Semua aduan dan laporan tidak kira dari siapa, yang kaya, yang miskin, yang menang dan yang tewas perlu disiasat. Bunyinya pelik, tetap saya berasa puas hati bila dipanggil pihak polis kali ini untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, beliau akan memberi keterangan di IPD Sentul, Jumaat ini.
Katanya, sebelum ini penyokong Umno dan Pas selalu menuduh pihak berkuasa terutamanya polis, pendakwa raya dan hakim tunduk kepada kemahuan Pakatan Harapan.
“Banyak komen memberi contoh bagaimana kes-kes melibatkan pimpinan Harapan digugurkan satu per satu, kononnya akibat campur tangan ini. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain, tetapi boleh berkongsi pengalaman sendiri.
“Saya memilih untuk tidak membuat apa-apa rayuan atau perbincangan dengan mana-mana pihak (baik peguam, pendakwa raya, menteri atau pegawai) untuk kes-kes saya kerana saya tidak setuju dengan campur tangan dalam pentadbiran undang-undang di negara ini,” katanya.
0 Ulasan
jerit kat sini