Loading...
Penumpang busuk disuruh keluar dari pesawat meninggal dunia
PENUMPANG busuk sehingga memaksa pesawat penumpang yang dinaikinya membuat pendaratan kecemasan pada bulan lalu meninggal dunia.
Menurut laporan akhbar Belanda, De Telegraaf, dia meninggal dunia akibat penyakit tisu nekrotik.
Penumpang malang itu dikenal pasti sebagai gitaris rock Rusia, Andrey Suchilin, berusia 58 tahun.
Suchilin telah dikeluarkan dari penerbangan Transavia Airlines dari Sepanyol ke Belanda pada 29 Mei selepas pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Portugal setelah beberapa penumpang muntah dan pengsan kerana bau badannya yang terlalu kuat.
Kini baru diketahui bahawa bau itu bukan disebabkan dia seorang pengotor, tetapi disebabkan penyakit tisu nekrosis, yang mana sel-sel tubuh memusnahkannya menggunakan enzim tersendiri, biasanya diikuti dengan jangkitan.
Selepas dikeluarkan dari pesawat di Faro, Portugal, Suchilin menulis di laman Facebooknya: "Komponen tragis dan melucukan dalam keseluruhan situasi ini
ialah saya ada penyakit, yang (tak perlu cerita bagaimana dan mengapa) membuat seseorang itu berbau busuk."
Suchilin dibawa ke hospital untuk rawatan tetapi keadaannya merosot dan dia koma. Walaupun banyak pembedahan dilakukan untuk cuba menghentikan jangkitan, dia meninggal dunia pada 25 Jun.
Isteri Suchilin, Lidia, memberitahu kawan-kawannya tentang perkembangan suaminya di laman Facebooknya.
Dia juga mendedahkan perjuangannya dengan syarikat insurans Ingosstrakh semasa suaminya sakit.
Walaupun telah mendapatkan rawatan sebelum meninggalkan Sepanyol, suaminya diberitahu bahawa dia mempunyai 'jangkitan pantai biasa' dan diberi antibiotik, kata Lida.
Apabila dia diminta keluar dari pesawat di Faro untuk mendapatkan rawatan, Ingosstrakh berkata insuransnya telah tamat tempoh dan syarikat itu enggan membiayai rawatan perubatannya.
Suchilin dan isterinya bertekak dengan syarikat itu selama lima jam, satu tempoh masa yang sangat berharga untuk merawat penyakit itu, tulis Lidia.
Mereka akhirnya terpaksa memanggil ambulans dan merayu sumbangan wang daripada rakan mereka melalui Facebook.
Transavia Airlines mengeluarkan kenyataan kepada Newsweek, menyatakan bahawa kakitangannya 'bersimpati dengan ahli keluarga dan berharap mereka tabah berdepan kehilangan ini'.
Ia memberi jaminan kepada penumpang dan kru pesawat udara bahawa 'tidak ada risiko jangkitan' selepas kejadian ini.
Suchilin adalah seorang gitaris profesional yang dihormati bersama kumpulannya, C-Major.
Baru-baru ini, Suchilin bekerja dalam bidang kewartawanan dan kejuruteraan, serta membuat susunan muzik untuk pertunjukan teater.
0 Ulasan
jerit kat sini