Azwan Ali Menangis Kacau Rendang Ingat Mak Tom

Azwan Ali Menangis Kacau Rendang Ingat Mak Tom

Loading...
Azwan Ali Menangis Kacau Rendang Ingat Mak Tom

Dengan tidak semena-mena Azwan Ali menitiskan air mata ketika asyik mengacau rendang dalam satu acara di Bukit Antarabangsa, Selangor, petang tadi.
Hari ini beliau mengadakan program pertama sejak menjadi calon bebas di DUN Bukit Antarabangsa bagi pilihan raya umum ini.
"InsyaAllah sedap...Sambil menggaul rendang saya berdoa," kata Azwan seraya mengalunkan lafaz Talbiyah iaitu bacaan yang lazimnya dibaca ketika umat Islam dalam perjalanan ke Kaabah.
Beliau mengimbas kembali kenangan belajar memasak rendang bersama arwah ibunya Che Tom Yahaya yang meninggal dunia tahun lalu.
"Tentunya saya sebak...Saya teringat duduk dengan arwah emak, belajar masak rendang. Saya tak tahu dari mana dia belajar tetapi rendangnya terlalu sedap.
"Saya bersyukur saya pandai buat...Walaupun Mak Tom sudah tak ada, tapi kenangan rendangnya tetap terpahat di jiwa mereka yang pernah menempah rendang saya," katanya lagi.
Selebriti kontroversi yang menggelarkan dirinya sebagai 'Diva AA' ini membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU ke-14.
Menggunakan simbol gajah, beliau bakal berdepan dengan abangnya iaitu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di DUN Bukit Antarabangsa.
Dalam program yang berlangsung kira-kira dua jam di tengah hujan itu, Azwan membuka gerai di tepi jalan bagi menjamu media dan penduduk yang hadir.
Manifesto 5 janji
Beliau turut membentangkan manifestonya jika berjaya menjadi ADUN Bukit Antarabangsa.
Pertama, beliau berjanji untuk terus mengadakan jamuan rendang setiap Ahad sepanjang lima tahun penggal akan datang.
"Saya akan kerap bersedekah...seperti beri makan percuma.
"Gaji yang berhormat RM15,000. Setakat nak masak ini nak berkira juga? Kalau kaya (harta) boleh bawa masuk kubur?"
Dalam manifesto yang dibentangkan, Azwan menyatakan empat janji antaranya menghapuskan politik rasuah dan menyelesaikan masalah air di Selangor.
Pada PRU kali ini, Bukit Antarabangsa bakal menyaksikan perlawanan lima penjuru. Selain Azwan dan Azmin, turut bertanding merebut kerusi itu adalah Sharifah Haslizah Syed Ariffin (PAS), Salwa Yunus (BN) dan Ahmad Kamarudin (Parti Rakyat Malaysia).
sumber:malaysiakini

Catat Ulasan

0 Ulasan