“Perit Sebenarnya Bila Hidup Tak Berduit. Orang Ajak Keluar Pun Terpaksa Tolak.

“Perit Sebenarnya Bila Hidup Tak Berduit. Orang Ajak Keluar Pun Terpaksa Tolak.

Loading...
“Perit Sebenarnya Bila Hidup Tak Berduit. Orang Ajak Keluar Pun Terpaksa Tolak.
2.jpg


Perkongsian pengalaman oleh Mohd Fadli Salleh yang juga merupakan seorang guru boleh dijadikan renungan oleh semua dan diambil sebagai pedoman dalam hidup. Membentuk siapa kita pada hari ini, bermula dari pengajaran oleh pengalaman lepas.

Aku memang tak boleh tengok murid lapar waktu rehat. Sebab itu aku semampu mungkin cuba pastikan mereka makan.


Banyak kali juga kocek aku sendiri langsung tak ada duit, maka aku terus ke kantin pinjam dengan mak cik kantin untuk diberi pada murid.

Aku memberi bukan nak tunjuk aku baik sangat atau aku ni kaya raya. Aku memberi kerana aku tahu betapa sengsaranya berlapar ini. Kerana aku faham perasaan malu dan hina bila kita tak berduit.

Dulu-dulu masa belajar, acapkali poket aku kosong. Langsung tak ada duit waima seringgit. Maka dengan perasaan malu dan rendah diri aku jumpa kawan-kawan dan minta pinjam.

"Bro. Pinjam sepuluh boleh tak? Aku dah kering dah ni. Nanti dapat elaun 4 hari lagi aku bayar."

"Aku pun tinggal RM50 je ni. Kau minta dengan orang lainlah," balas seorang kawan dengan muka berkerut.

Kawan itu selama ini sering bergelak bersama. Sering juga keluar melepak minum dan berseronok. Namun saat aku tiada apa, minta pinjam RM10 pun dia berkira. Sedangkan dipoketnya masih punya RM50.


Aku merasa terhina. Benarlah, bila duit tiada kita dengan sendirinya rasa hina diri. Saat itu, kawan jenis macam tu tidak lagi aku cuba nak minta pinjam. Aku bersumpah dengan diri sendiri.

Biar saja aku togak air paip dijalanan dari merendah diri mengemis simpati orang. Aku cukup tak suka meraih simpati. Dari dulu aku begini. Dulu disekolah rendah masa berumur 9 tahun aku pernah pulang jalan kaki ke rumah.

Dari Sk Kamil (1) ke Jalan Jeram Pasu, Kampung Padang Pak Amat bukan satu jarak dekat. Hampir 10km rasanya. Orang Pasir Puteh pasti tahu jarak itu bukan dekat untuk berjalan kaki.

Tambah-tambah untuk murid tahun 3. Dibawah terik mentari, dengan beg sarat dengan buku aku gigih menapak. Hanya kerana aku ini malu untuk meminjam duit mahu pun menahan kenderaan untuk tumpang secara percuma.


Masa aku di peralihan kat MML, berumur 13 tahun pun pernah juga. Dari MML berjalan kaki ke Maktab Perguruan Kota Bharu. Satu jarak yang jauh dengan memikul beg berjalan dari waktu Maghrib sampai ke Isyak.

Aku takkan sesekali mengemis menahan kenderaan. Apatah lagi meminta wang. Ini hidup aku. Apa jua cabaran, aku akan hadapi sendiri.

Peristiwa merasa diri terhina masa belajar dulu aku ingat sampai mati. Duit langsung tak ada, cuba pinjam dengan kawan namun ditolak pula.

Sudahnya, semua tilam dalam bilik aku angkat. Jumpa syiling-syiling pun rasa sangat berharga. Dikumpul akhirnya lepas untuk membeli sebungkus nasi. Itu pun aku kongsi bertiga bersama rakan yang juga tak punya apa. Hilanglah lapar untuk satu hari.

3 hari berikutnya, aku cuma makan tebu yang warden tanam sebelah asrama. Makan tebu, buat air teh o. Itulah makanan selama 3 hari sementara menunggu elaun pelajar masuk.

Masa lapang aku tidur. Walau tidak mengantuk, aku paksa diri untuk tidur. Bila tidur, rasa lapar itu hilang. Hilang sementara jadilah.

Belajar di kelas, aku sering minta ke tandas. Bukan nak kencing, nak minum air paip kat sana. Pelajar maktab, tak macholah bawa botol air ke kelas, ye dak? Haha. Padahal kebulur macam musafir yang tersesat di padang pasir, namun ego dan maruah tetap tak nak jatuh.


Perit sebenarnya bila hidup tak berduit. Orang ajak keluar pun terpaksa tolak. Member ajak minum walau dia nak belanja pun tolak juga. Tak nak terima budi dan simpati orang.

Biar aku kelaparan, biarlah aku kebuluran, namun untuk dihina lagi tak kan aku benarkan. Tidak untuk sekali lagi. Tidak untuk selamanya.

Pengalaman perit itu aku jadikan memori dalam hidup aku. Aku pernah merasa, maka aku tak mahu orang sekeliling aku turut sama merasai juga.

Selagi aku boleh makan, orang sekeliling aku takkan aku biarkan mereka kelaparan. Itu aku.

Catat Ulasan

0 Ulasan