Chalet Usang Usik Pekerja

Chalet Usang Usik Pekerja

Loading...
Chalet Usang Usik Pekerja
BALING – Di sebalik kesunyian Pusat Rekreasi Hutan Lipur Bukit Hijau yang terbiar dan muram, kawasan tersebut turut menyimpan beberapa kisah mistik tersendiri.
Kisah paling menjadi bualan pengunjung dan penduduk di kawasan yang turut dikenali sebagai Lata Bukit Hijau berkenaan ialah chalet nombor 16.
Chalet berkenaan sering dikaitkan dengan gangguan makhluk halus termasuk dikatakan mempunyai ‘penunggu’.
 Bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci, Sinar Harian menemui beberapa bekas pekerja pusat rekreasi yang pernah berdepan peristiwa aneh yang mempunyai kaitan dengan chalet tersebut.


Menurut bekas kontraktor penyelaras kawasan Lata Bukit Hijau, Raman Shariff, 56, chalet bernombor 16 sering ‘mengusik’ pekerja dan pelancong.
Menurutnya, kisah chalet itu diketahui ramai terutamanya bagi mereka yang pernah mengalami sendiri peristiwa aneh itu.
“Dalam banyak-banyak chalet yang dibina daripada kayu, chalet nombor 16 lah yang berhantu. Chalet itu dibina daripada ibu kayu. Tapi saya tak pasti kayu jenis apa.
“Pernah ada bunyi suara orang mengaji dalam chalet tu sedangkan tiada siapa, saya pun pernah dengar suara tu.  Pelancong yang menginap chalet nombor 16 biasanya diusik,” katanya.
Raman berkata, suara wanita mengilai daripada chalet itu juga pernah didengarinya.




Rumah pegawai Jabatan Hutan turut terbiar.


Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 1992 pada sekitar jam 1 pagi.
“Suara ketawa tu masih terngiang-ngiang di telinga saya, waktu tu saya bersama empat orang lagi rakan-rakan tengah bersembang di chalet lain.
“Tiba-tiba kami dengar bunyi suara mengilai dari chalet tu. Ada la dalam lima minit bunyi
suara tu sebelum kami semua lari keluar dari situ,” katanya.
Tambahnya, pernah kesemua chalet terputus bekalan elektrik, tetapi chalet nombor 16 masih menyala lampunya.
“Malam tu wayar elektrik terputus sampai semua chalet tidak berlampu, tapi yang peliknya lampu chalet nombor 16 masih mennyala,” katanya.

Terasa sesuatu memerhati

Seorang bekas Penyelia Pusat Rekreasi Lata Bukit Hijau, Zainon Majid, 56, berkata, dua kes aneh membabitkan chalet itu berlaku kepada pengunjung di bawah seliaannya.
Menurutnya, kedua-dua kes itu berlaku semasa dia bertugas pada tahun 2010 hingga 2012.
“Kes pertama ada empat pengunjung yang dipindahkan di kaki tangga selepas tidur dalam chalet ini.
“Hari pertama depa sampai, empat pengunjung tu minta nak tidur dalam chalet nombor 16, tapi saya sudah nasihat mereka supaya  tidur di chalet lain.
“Tapi mereka tetap degil, saya akhirnya izinkan dengan syarat jangan buat benda tak elok dalam chalet nombor 16 tu,” katanya.
Menurutnya, kesemua pengunjung itu ditemui tidur di kaki tangga chalet lain pada jam 4 pagi.
“Waktu saya buat rondaan jam 4 pagi, keempat-empat depa tidur di kaki tangga. Bila saya kejutkan, keempat-empat pelancong ini terpinga-pinga dan terkejut.
“Mungkin malam tu depa ada buat benda tak elok, pagi tu juga depa check out dari chalet,” katanya.
Zainon berkata, kes kedua membabitkan kisah chalet itu apabila seorang pengunjung tidak dapat tidur hingga pagi kerana diganggu.
“Pengunjung tu kawan saya sendiri, malam tu dia tak dapat tidur sebab rasa macam ada sesuatu yang memerhati,” katanya.


Chalet binaan batu yang terbiar di kawasan tepi sungai.


Zainon berkata, selain kisah chalet itu, ada dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah diserang histeria.
“Gangguan dan histeria pernah terjadi waktu pelajar sekolah dan universiti adakan kem motivasi.
“Saya sendiri waktu memancing pernah ditegur seorang lelaki tua yang memimpin tangan seorang budak perempuan waktu Maghrib. Dia suruh saya balik sebab dah senja, bila saya melangkah kaki nak pulang dan toleh belakang, tengok-tengok kelibatnya dah hilang,” katanya.
Menurutnya, Lata Bukit Hijau mencatatkan kes kematian akibat lemas sekitar tahun 1991 hingga 2013.
“Sepanjang tahun itu lebih kurang 16 kematian berlaku sampaikan pihak polis ketika itu ada minta Lata Bukit Hijau ditutup sementara,” katanya.
Bekas Ketua Penyelia Kebersihan, Shaari Musa, 77, berkata, kisah mistik chalet nombor 16 bukannya satu rekaan.
Shaari yang bekerja daripada 1991 hingga 1995 mengakui pernah mendengar suara wanita mengilai daripada chalet itu.
“Sepanjang saya bekerja, lima kali saya dengar bunyi mengilai daripada chalet tu. Bunyi kedengaran dalam jam 9 malam dan ke atas.
“Apa pun setiap makhluk di atas muka bumi ini adalah ciptaan ALLAH dan apa yang berlaku atas kehendak-Nya,” katanya.
Berkongsi kisah chalet nombor 16, seorang peniaga Zainab Zahari, 37, berkata, dua bulan lalu terdapat pasukan paranormal datang bagi merakam gambar makhluk halus di chalet tersebut.       

          “Ada beberapa orang mai nak ambil gambar hantu di chalet tu. Mereka duduk dari pagi sampai petang.
“Bila ditanya, depa kata belum jumpa. Keesokan harinya saya nak tanya la depa ada nampak ke tak tapi kumpulan itu dah balik,” katanya.

Chalet terbiar usang

Sementara itu, keadaan terbiar kawasan tersebut mengundang rasa kecewa dalam kalangan penduduk, peniaga dan pelancong.
Tinjauan mendapati beberapa chalet, medan selera, satu blok asrama, surau, tandas, dewan makan, rumah pegawai dan pondok rehat semakin usang dan terbiar sejak setahun lalu.
Namun, hanya sebuah gerai makan masih beroperasi.
Kelihatan anggota tentera mengadakan operasi berhampiran padang permainan.
Pelancong dari Kelantan, Mohd Sobri Hasyim, 45, berkata, keadaan Pusat Rekreasi Bukit Hijau yang terbiar begitu menghampakan.


Kedudukan chalet nombor 16 yang terasing dan dikelilingi pokok-pokok besar.


Menurutnya, dia bersama isteri dan dua anak yang sanggup datang dari jauh tidak menyangka pusat rekreasi berkenaan jauh berubah berbanding 10 tahun lalu.
“Dulu saya datang memang cukup cantik, tapi sekarang pusat pelancongan ni dah terbiar. Rasa takut dan tak selamat. “Saya bawa keluarga dari Kelantan untuk berkelah di sini, tapi maaf cakap, kami memang hampa tengok keadaan macam ni,” katanya.
Menurutnya, situasi jauh berbeza ketika dia berkunjung ke situ 10 tahun lalu di mana ia dikunjungi ramai pelancong.
“Waktu saya datang dulu lebih kurang 40 buah kereta pengunjung ada dalam ni, tu hari biasa bukan hari cuti. Tapi sekarang ada dua kereta pun kira nasib la tu, itu pun kalau ada.
“Saya ada cadangkan kawasan ni dekat orang luar, tapi rupanya sekarang suasananya jelas jauh berbeza,” katanya.
Pengunjung, Ahmad Bukhari Ayub, 27, dari Kuala Ketil, berkata, chalet-chalet terbiar menjadi sarang kelawar dan kelihatan menakutkan.
Menurutnya, dia tidak menyangka kawasan secantik itu dibiarkan sebegitu rupa.
“Tempat ni amat cantik, tapi sayang terbiar seolah-olah macam dah tak ada pengunjung langsung. Rumah dan chalet pun dah terbiar.
“Saya tengok ada di antara chalet dijadikan sarang kelawar, tangga pun ada yang reput,” katanya.

Chalet jadi sarang maksiat

Penduduk, Amar Haikal, 17, berkata, pelajar sekolah khususnya sering dilihat melakukan maksiat dalam kawasan pusat rekreasi tersebut.
“Boleh kata setiap hari saya dan kawan-kawan datang lepak di sini.
Dalam masa sama banyak kami tengok budak-budak sekolah datang dan buat benda-benda tak elok,” katanya.
Penduduk, Azmi Budin,55, berkata, banyak infrastruktur dalam kawasan tersebut rosak setelah tidak dijaga dengan baik.
“Macam tandas dan chalet yang lain habis rosak, kedai makan dah tak buka sebab tak ada orang datang,” katanya.
Menurutnya, ketika menjadi tumpuan pengunjung, pusat rekreasi tersebut membuka peluang kepada peniaga tempatan mencari rezeki.
“Dulu waktu orang ramai, gerai-gerai jualan ni dibuka sampai luar pintu pagar.
“Penduduk tempatan pun ada juga yang boleh bekerja dengan pusat rekreasi ni,” katanya.
Peniaga gerai makanan, Zainab Zahari, 37, berkata, pendapatannya merosot lebih tiga kali ganda berbanding enam tahun lalu.
“16 tahun saya berniaga di sini, dulu pendapatan sehari boleh cecah dalam RM400, hari ini sehari nak dapat RM50 pun susah.
“Daripada tujuh kedai dibuka di medan selera di sini, sekarang hanya tinggal gerai saya. Dulu penuh dengan pelancong dalam dan luar negara.
“Jika cuti sekolah saya akan sentiasa buka gerai, tapi kalau hari biasa tak menentu bila gerai dibuka sebab kurang sambutan,” katanya.


Gerai yang masih dibuka, kelihatan Zainab menerima bayaran daripada pelanggan.


Zainab berkata, dia menafikan kes kencing tikus punca lata berkenaan tidak mendapat sambutan.
“Sepanjang saya berniaga di sini tak pernah saya dengar orang mati kerana kencing tikus. Mati kerana lemas tu memang ada.
“Tapi bagi saya, kawasan ni terbiar sebab tak dijaga dengan elok.
Pelancong luar pun mengadu kata tempat ni tak bersih,” katanya.
Namun katanya, kawasan sekitar Lata Bukit Hijau kelihatan ceria selepas dibersihkan MDB Khamis minggu lalu.

MDB mahu ambil alih

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Baling (MDB), Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, tidak wajar Jabatan Hutan Negeri Kedah membiarkan kawasan tersebut terbiar.
“Dari 1992 hingga 1994, Lata Bukit Hijau menjadi kawasan paling diminati ramai. Tetapi selepas tutup akibat tersebar berita kencing tikus, Jabatan Hutan pun dah tak ambil kisah sampai jadi semak samun.
“Saya lihat benda itu tidak sepatutnya berlaku, jika tiada peruntukan untuk bersihkan kawasan itu sepatutnya boleh diatasi dengan bergotong royong,” katanya.
Menurutnya, pelaburan daripada kerajaan negeri bagi membangunkan kawasan itu seakan disia-siakan.
“Jabatan Hutan perlu ada sikap proaktif, kawasan dan harta benda itu pun milik mereka, bahkan pejabat mereka pun dalam tu. Bila dibiarkan, aset kerajaan tidak membawa erti pada pembangunan dan ia merugikan,” katanya. Beliau berkata, MDB akan memohon daripada Jabatan Hutan Negeri Kedah bagi mengambil alih pengurusan Lata Bukit Hijau.
“Kita akan minta Jabatan Hutan Negeri Kedah serahkan kawasan itu kepada MDB. Seperti mana kita jaga kawasan lain, Insya-ALLAH macam itulah kita jaga Lata Bukit Hijau.
“Jika tidak mahu diserahkan, MDB minta Jabatan Hutan jaga kawasan itu dengan sebaik-baiknya,” katanya.


Pintu masuk Lata Bukit Hijau.


Md Shuhaime berkata, kawasan itu akan dipulihkan semula MDB dengan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan tahun hadapan.
“Kita akan pulihkan semula kawasan itu supaya orang tempatan boleh berniaga semula di situ. MDB akan masukkan Lata Bukit Hijau dalam pakej pelancongan daerah,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Jabatan Hutan Negeri Kedah berkata, MDB tiada kuasa untuk mengambil alih Hutan Bukit Hijau.
“Hutan Bukit Hijau adalah hutan simpan dan bukannya di bawah MDB. Kita hanya bekerjasama dengan MDB untuk naik tarafkan kawasan ini.
“Kita pun sudah minta peruntukan dan akan cantikkan tempat tersebut tahun hadapan. Pejabat hutan akan mengadakan perbincangan dengan MDB,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan