Siti Aafiyah Makin Kuat Menyusu-Siti

Siti Aafiyah Makin Kuat Menyusu-Siti

Loading...
Siti Aafiyah Makin Kuat Menyusu-Siti

Kelahiran puteri sulung penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa iaitu Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu dinantikan semua orang.
Sejak hari pertama kelahiran, bayi comel itu diraikan tujuh hari tujuh malam bukan saja dalam kalangan ahli keluarga tetapi seluruh peminat Siti dalam dan luar negara.
Boleh dikatakan hampir setiap hari laporan mengenai kelahiran Siti disiarkan di dada akhbar ditambah pula dengan satu persatu perkongsian istimewa dibuat Siti di laman Instagram (IG) miliknya.


Menariknya, Siti Aafiyah yang turut digelar Comel Pipi Merah berjaya mencipta populariti tersendiri.
Malah kebanyakan komen yang ditulis netizen, Siti Aafiyah disifatkan bayi nombor satu Malaysia seperti gelaran yang dipegang ibunya sebagai penyanyi tersohor.
“Soal anak popular, saya tidak boleh nak buat apa sebab mak dia penyanyi. Secara tidak langsung anak juga terkena tempias selebriti.
“Mungkin juga sebab saya sudah lama menanti kehadirannya. Tahun ke-11 perkahwinan, saya disahkan hamil dan tahun ini bersalin. Jadi peminat pun ternanti sama.
“Bagi saya, penantian ini membuatkan kehadiran anak saya jadi perkara yang semua orang ingin tahu. Saya hargai dan berterima kasih atas setiap doa, ambil berat dan ucapan tahniah yang diberikan,” katanya.
Namun, Siti tidak mahu mengambil kesempatan dengan mewujudkan program khas atau memberikan hak eksklusif penyiaran kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, Siti inginkan anaknya membesar seperti kanak-kanak biasa tanpa sebarang pendedahan atau fokus kepada dunia selebriti.
“Apa yang dikongsi dalam IG atau aplikasi yang baru saya lancarkan adalah secara kebetulan. Ia datang dalam waktu sama kelahiran Aafiyah. Ia satu perkongsian yang sangat istimewa.
“Jadi ini yang kami buat sekarang. Saya buat bukan sebab mahu ikut trend. Saya pun tidak mahu dedahkan anak dengan dunia glamor. Biarlah dia membesar seperti kanak-kanak biasa,” katanya.
Apa yang pasti, fokus Siti adalah membesarkan Siti Aafiyah dengan didikan agama, adab dan pelajaran.
Bagi Siti, perkara itu menjadi cabaran buat dirinya dan suami kerana anak adalah amanah Allah SWT.
“Saya bersyukur anak dilahirkan sempurna. Tinggal lagi saya nak mendidiknya. Sebelum ini saya hanya melihat mak dan wanita lain membesarkan anak. Saya tidak rasa apa-apa.
“Apabila diberikan rezeki sendiri, ia tanggungjawab besar. Anak adalah amanah dan dugaan kepada kita. Insya-Allah, saya sentiasa ingatkan diri untuk berikan yang terbaik buat anak termasuk agama, pelajaran adab sebagainya,” katanya.
Pada masa sama, Siti turut berkongsi keinginan menambah seorang lagi cahaya mata lelaki bagi melengkapkan perkahwinan dibina bersama suami.
“Kalau ada rezeki, memang mahu anak lelaki. Ini adalah perancangan. Namun, saya belum dapat nasihat doktor. Insya-Allah, saya serahkan kepada Allah.
“Kalau ada, ia rezeki. Andai sebaliknya, saya tetap bersyukur sudah ada seorang zuriat,” katanya.
Terdahulu, Siti dan suami memenuhi janji mereka untuk berkongsi nama sebenar anak selepas hari ketujuh kelahiran dengan mengadakan majlis maulid, tahnik dan akikah di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.
Majlis tahnik dan akikah itu disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al Bakri.
Dapat hadiah cincin
Istimewa sempena kelahiran Siti Aafiyah, suami Siti menghadiahkan cincin bertatahkan berlian yang terukir nama anak mereka.
“Macam-macam cara suami ingin menghargai isteri. Saya tak sangka apabila suami hadiahkan cincin. Dia kata, cincin ini hadiah daripada anak untuk saya.
“Saya tidak minta apa-apa pun cuma doakan agar segera sihat dan diberi kekuatan untuk mengharungi tempoh berpantang. Sepanjang seminggu saya masih dalam pemantauan doktor. Saya masih kena makan ubat untuk dapatkan tenaga semula,” katanya.
Berkongsi pengalaman bersalin, Siti berkata dia berdepan detik sukar apabila terdapat komplikasi sehingga mengakibatkan kehilangan banyak darah.
“Setiap wanita ada pengalaman berbeza ketika bersalin. Saya kehilangan banyak darah atas sebab tertentu. Alhamdulillah, dengan kecekapan doktor, mereka pantas membantu dan merawat saya.
“Disebabkan itu saya ditahan dalam bilik pemantauan. Alhamdulillah, hari ketiga saya sudah boleh berjalan. Saya kena kuatkan diri dan semangat. Apabila bersalin secara pembedahan, kita tidak boleh banyak baring atau takut nak berjalan.
“Jadi, saya kuatkan diri. Bagi saya tidak ada yang lebih kuat selain menjadi wanita yang melahirkan anak. Dapat lihat anak depan mata hilang segala sakit,” katanya.
Menyusukan anak
Selain perlu menjaga kesihatan selepas pembedahan, cabaran Siti adalah menyusukan anak.
“Mak dan mak mentua banyak bantu saya ketika berpantang. Tinggal lagi cabaran selepas bersalin adalah menyusukan anak. Bagi saya ia bukan mudah. Apabila difikirkan semula, mak saya boleh menjaga lapan anak dan menyusukan sampai tak tidur malam, kenapa saya yang baru seorang anak nak mengeluh?
“Pada masa sama, saya bersyukur menantu, Tya banyak beri tunjuk ajar. Dia cikgu dan mentor saya. Setiap dua jam kena pam dan makan. Diakui sepanjang tujuh hari memang kerap berjaga malam.
“Diakui setiap bayi ragamnya berbeza. Macam anak saya, pada waktu siang dia tidur dan malam berjaga. Semakin dia membesar, dia nak lebih banyak menyusu. Jadi saya kena ikutkan. Tetapi tidak mengapa kerana ini amanah Allah dan saya ingin melihat anak sihat,” katanya.
Ditanya mengenai berapa lama tempoh diambil untuk berehat sebelum kembali aktif menyanyi, Siti berkata dia tidak mahu terburu-buru.
“Saya harap pulih sepenuhnya dalam tempoh enam bulan. Saya tak nak terburu-buru untuk kembali dapatkan bentuk badan bimbang ia memudaratkan pula. Saya ikut nasihat doktor,” katanya.
Siti yang ingin dipanggil ‘ibu’ oleh anaknya nanti turut berpesan kepada wanita senasib dengannya agar tidak berputus asa dan banyakkan berdoa.
“Saya ingin berkongsi kepada wanita yang belum dikurniakan cahaya mata agar jangan putus asa, putus doa dan yang paling penting sentiasa bersangka baik kepada Allah. Segelintir orang kalau tak diberikan rezeki anak, dia akan persoal dan mengeluh.
“Saya selalu cakap dalam hati, tidak mengapa. Allah akan bagi juga nanti dalam masa terbaik. Setiap kali saya pergi umrah, doa saya tetap sama. Saya tahu Allah akan jawab suatu hari nanti. Alhamdulillah, Allah jawab juga. Pada masa sama, kena berusaha,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan