Sakitnya Luka Di Bedah-Siti Nurhaliza

Sakitnya Luka Di Bedah-Siti Nurhaliza

Loading...
Sakitnya Luka Di Bedah-Siti Nurhaliza
TIADA apa yang lebih bernilai buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa daripada kelahiran puteri sulung yang dinamakan Siti Aafiyah.


Nama itu dalam bahasa Arab bermaksud segala kebaikan.
Riak gembira, syukur, terharu dan 1001 perasaan jelas tergambar di wajah mereka berdua pada majlis akikah dan tahnik yang dilangsungkan pada Ahad lalu di kediaman mereka di Hulu Kelang, Selangor tepat pada hari ketujuh kelahiran.
Siti, 39, yang berada dalam fasa awal tempoh berpantang selepas melahirkan anak secara pembedahan caesarean dilihat begitu kuat meskipun sepanjang majlis tersebut beliau dan bayi dipantau oleh doktor.
Biarpun keadaan badan masih belum pulih sepenuhnya, Siti sempat berkongsi pengalaman dan rasa nikmat bergelar seorang ibu selepas 11 tahun menanti.
“Tidak dapat saya bayangkan pada kali pertama melihat anak keluar dari perut sendiri. Dalam keadaan dibius sewaktu pembedahan, saya rasa seperti mimpi.
“Alhamdulillah selepas 11 tahun impian dan cita-cita yang dimpikan selama ini menjadi kenyataan. Saya bersyukur dia dilahirkan sempurna,” kata Siti dalam senyuman paling manis.
Menyambung bicara tentang pengalaman ketika bersalin, Siti memberitahu, beliau mengalami komplikasi dan kehilangan banyak darah sehingga terpaksa ditahan di dewan bersalin selama sehari untuk dipantau doktor.
“Alamdulillah, Allah memudahkan semuanya. Doktor yang merawat saya membuat tindakan pantas dan saya kembali stabil dalam tempoh yang cepat. Pada hari ketiga saya sudah boleh berjalan.
“Walaupun sakit luka pembedahan tidak boleh digambar dengan kata-kata tetapi saya kuatkan diri kerana bersalin secara pembedahan tidak boleh banyak berbaring. Lihat anak depan mata hilang segala sakit.
“Bagi saya, tiada apa yang lebih kuat daripada menjadi seorang wanita,” luah Siti yang hanya sempat tidur tiga jam sehari sahaja sejak bersalin.
Cabaran
Cabaran terbesar selepas bersalin kongsi Siti, adalah menyusukan anaknya. Namun, Siti bersyukur kerana dibantu oleh menantunya, Tya Ariffin yang lebih berpengalaman sebagai seorang ibu.
Meskipun sukar tetapi demi memberi yang terbaik buat anaknya, Siti mengharunginya sama seperti wanita lain.
“Baru saya tahu bukan senang untuk menyusukan anak. Sangat mencabar, tidak tidur malam tetapi bila difikirkan balik, emak boleh lalui proses yang sama dengan lapan orang anak, saya baru seorang tidak boleh merungut.
“Saya bertuah sebab Tya banyak membantu. Dia seperti guru dan mentor yang mengajar ilmu menyusukan anak. Selalunya ibu yang ajar anak tetapi kes saya terbalik,” katanya sambil memberitahu, anaknya lebih banyak berjaga malam daripada siang.
Dalam pada itu, Siti tidak menafikan anaknya turut terkena tempias populariti beliau sebagai penyanyi.
Beliau dan suami bagaimanapun mahu Siti Aafiyah menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.
“Bila sudah ada anak, tanggungjawab saya sangat besar. Anak merupakan amanah. Saya mahu beri pelajaran dan didik adab terbaik.
“Saya tidak mahu membesarkan dia seperti selebriti sebaliknya ingin melihat dia hidup secara normal seperti orang lain,” ujar Siti yang menggelarkan dirinya ibu.
Setakat hari ini Siti masih belum terfikir untuk membuat akaun Instagram khas buat anaknya dan lebih selesa memuat naik segala video serta gambar terbaharu Siti Aafiyah di akaun Instagram miliknya.
Selain itu, Siti juga tidak menolak andai anaknya menerima rezeki menjadi duta, model atau memiliki program sendiri seperti anak selebriti lain.
Namun, tawaran tersebut akan dipertimbangkan terlebih dahulu selepas berbincang dengan suaminya.
“Sekarang, apa sahaja berkaitan anak saya harus bincang dengan suami terlebih dahulu. Soal Instagram saya masih fikirkan, jika ada akan diumumkan kelak.
“Tentang rezeki lain saya tidak boleh beri kata putus. Cuma, saya memang tidak mahu besarkan anak seperti selebriti. Saya mahu dia jalani hidup seperti kanak-kanak lain,” tuturnya.
Inspirasi
Bercakap tentang pilihan nama Siti Aafiyah penyanyi lagu Cindai itu berkata, ia dipilih bersempena doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada bapa saudaranya, Al Abbas.
“Nama anak ini suami dapat inspirasi ketika menunaikan umrah tahun lalu. Sepanjang di sana, beliau sering mendengar doa berkenaan. Malah, maksud Aafiyah juga merangkumi yang baik-baik saja.
“Sepanjang hamil, saya juga sering mendapat kiriman doa ini yang menyebut nama Aafiyah. Jadi, kami sepakat memilih nama ini,” katanya.
Sementara itu, suami Siti, Khalid atau Datuk K, 59, menjelaskan, pemilihan nama anak mereka lebih ringkas, indah dan mudah diingati dalam setiap doa.
Berbicara tentang anak bongsu yang juga puteri sulungnya, kongsi Datuk K, jika Siti menunggu selama 11 tahun, beliau pula yang dikurniakan empat anak lelaki telah menanti selama 18 tahun.
“Sebenarnya apabila rumah saya siap setiap anak dapat satu bilik dan ada sebuah bilik memang saya kosongkan untuk anak perempuan.
“Sudah 18 tahun saya menanti. Alhamdulillah saya mendapat anak perempuan. Perasaan saya bercampur-campur kerana terlalu gembira. Akhirnya Siti dapat menjadi ibu,” ujar Datuk K.
Justeru itu sebagai penghargaan kepada pengorbanan Siti, Datuk K dan Siti Aafiyah telah menghadiahkan dua bentuk cincin berlian kepadanya.
“Saya beri satu cincin dan Siti Aafiyah beri satu cincin sebagai hadiah pertama pada hari pertama dia dilahirkan. Ia sebagai kenangan dan tanda terima kasih kepada ibunya.
“Saya akan pesan kepadanya dan insya-Allah ia dijadikan tradisi. Setiap kali hari lahir Siti, anak yang perlu beri hadiah kepada ibu,” jelas Datuk K.
Sambung Siti tentang cincin yang diterima, ia merupakan salah satu bentuk penghargaan suami kepada pengorbanannya.
“Pelbagai cara suami menghargai isteri. Saya memang tidak sangka dapat cincin daripada anak. Ini secara tidak langsung beri kekuatan kepada saya untuk mengharungi proses berpantang,” kata Siti yang akan berehat selama enam bulan.
ANUGERAH
Selepas 11 tahun Siti menanti untuk bergelar ibu manakala Datuk K menunggu selama 18 tahun bagi memperoleh cahaya mata perempuan, kelahiran Siti Aafiyah merupakan suatu anugerah terbesar buat mereka.
VIRAL
Siti tidak menyangka lagu Comel Pipi Merah yang dibuat khas untuk anaknya menjadi siulan masyarakat.
ANAK LAGI
Menurut Siti, beliau berhasrat untuk memiliki seorang anak lelaki selepas kelahiran Siti Aafiyah tetapi ia bergantung pada nasihat doktor.
PANTANG
Siti enggan terburu-buru kembali bekerja, sebaliknya mahu sihat sepenuhnya. Beliau akan berehat selama enam bulan.
Seperti yang dijanjikan, selepas hari ketujuh kelahiran, Siti dan Datuk K memperkenalkan buah hati mereka yang dinamakan Siti Aafiyah kepada seluruh rakyat Malaysia pada Ahad lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan