Semakin Uzur... Bob Titip Pesan

Semakin Uzur... Bob Titip Pesan

Loading...
Semakin Uzur... Bob Titip Pesan

“KEPADA ibu bapa, saudara mara dan rakan, kalau saya ada dosa pada semua, saya minta maaf. Kalau ada sikit pun saya minta maaf juga,” pinta pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang kini uzur akibat masalah jantung sejak empat tahun lalu.


Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, berkata, dia juga mengingatkan kepada kenalannya agar menuntut hutang daripada ahli keluarganya selepas meninggal dunia.
Menurut Bob, dia sudah merancang untuk membayar hutang namun tidak ingat individu terbabit dan jumlah.
“Kalau saya ada hutang, boleh jumpa keluarga saya kalau sudah meninggal. Dalam masa sama, saya sudah merancang untuk bayar semua hutang, tapi tidak ingat pada siapa saya hutang sikit atau banyak.
“Untuk jumlah banyak, saya sudah tulis. Insya-Allah isteri akan selesaikan secara perlahan-lahan.
“Masalah sekarang saya tidak ingat jumlah yang sikit. Namun, mana yang ingat saya sudah maklumkan kepada isteri dan anak agar selesaikan masalah ini. Saya tak nak jadi orang ‘muflis’ di padang mahsyar nanti,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Sungai Buloh, petang tadi.
Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella berpesan kepada semua kenalan agar segera bertaubat sebelum ajal tiba.
“Saya ramai kawan daripada segenap usia, golongan dan sikap. Kepada rakan, kita sudah lalui satu kehidupan suka, seronok, melompat pergi konsert, berhari raya, balik kampung bersama, pergi perarakan Maulud Nabi dan banyak lagi. Pendek kata, kita sudah buat macam-macam.
“Namun, satu perkara kita jangan lupa buat adalah bertaubat sebelum mati. Mengenai kehidupan dahulu Allah tidak ambil kira. Kalau kita bertaubat dan dapat jadi manusia baik di sisi Allah dan mati dalam Islam, insya-Allah kita masuk syurga sama-sama,” katanya.
Mengenai keadaan kesihatannya sekarang, bapa kepada lapan cahaya mata itu mengalami kehilangan suara sejak sebulan lalu, pergerakan terbatas dan memerlukan bantuan pernafasan di rumah.

“Saya masih boleh berjalan, tetapi dalam jarak 20 meter saja. Itu pun saya perlu rehat dua kali. Malah, saya solat dalam keadaan duduk.
“Makan pula, saya sudah tidak rasa apa kecuali makanan manis. Apa dilalui sekarang sudah tidak ada nikmatnya. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Sementara itu, Bob berterima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang membuat lawatan mengejut ke rumahnya pagi tadi.
“Saya tidak tahu dia nak datang. Agak lama juga kami tidak berjumpa. Sebelum ini saya selalu juga ke pejabatnya. Apa boleh dikatakan, beliau seorang sahabat yang baik.
“Beliau mengetahui keadaan saya uzur selepas membaca akhbar Harian Metro hari ini. Ketika pertemuan kami, beliau sempat membacakan doa dan menitipkan madu Sidr.
“Pun begitu, kami tidak berpeluang berborak lama kerana beliau kesuntukan masa disebabkan komitmen kerja lain,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan kepada Bob, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun isterinya, Relawati Daud (Public Bank – 4416206406)

Catat Ulasan

0 Ulasan