Loading...
Rosmah Terkejut Nilai RampasanTerlalu Banyak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berpendapat beliau tidak bersalah dan berhak menerima hadiah daripada pemimpin asing serta teman peribadi sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Najib berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga mengakui menerima hadiah kuda daripada rakannya dan pemimpin asing termasuk menggunakan jet korporat temannya.
"Tetapi apa yang saya tahu ialah selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami diberi hadiah yang banyak daripada pemimpin asing termasuk teman dan saya tahu mengikut peraturan, tidak salah untuk menerima hadiah. Hadiah ini terkumpul selama beberapa dekad.
"Sebagai contoh Dr Mahathir mengakui menerima 40 ekor kuda dari temannya dan pemimpin asing, dan beliau secara terbuka menggunakan banyak jet korporat kawannya, maka tidak salah menerima hadiah," katanya dalam temubual eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, hari ini.
Ditanya sama ada beliau berbincang dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, mengenai pendedahan polis mengenai jumlah dan nilai barang yang dirampas dari kediaman dikaitkan dengannya hari ini, Najib berkata Rosmah sendiri terkejut dengan jumlah barang yang dinyatakan.
"Saya fikir jumlah itu...dia tidak percaya jumlahnya sebanyak itu dan juga beberapa barang itu, ada barang kemas yang dihantar untuk tatapan dan akan dikembalikan. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti barang ini dan mengembalikannya," katanya.
Najib berkata, sejumlah besar barang kemas yang dirampas bukan dimiliki secara sah oleh Rosmah sebaliknya, ada yang dimiliki anak perempuan mereka Nooryana Najwa, suaminya dan ibu mentua.
"Janganlah kita melompat dengan sebarang kesimpulan pada tahap ini. Mari kita periksa barang berkenaan satu persatu," katanya.
Ditanya apakah beretika bagi seseorang yang berada dalam kedudukannya untuk menerima hadiah berharga, Najib berkata bekas isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Michelle menerima hadiah bernilai berjuta-juta dolar daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz.
"Dan ketika Raja Salman mengunjungi Indonesia baru-baru ini, baginda juga memberikan hadiah bernilai berjuta-juta dolar. Jadi beberapa raja di negara tertentu, ia sebahagian daripada budaya mereka untuk memberikan barang mahal.
"Sebagai contoh, barang yang diberikan kepada saya oleh raja ini, saya tidak menggunakannya. Saya menyimpannya kerana saya tidak menggunakan barang sangat mahal seperti yang rakan saya tahu. Saya tidak memakai jam tangan mengandungi batu berharga," katanya.
Najib turut berkata, wang tunai RM116 juta yang ditemui polis dalam serbuan bulan lalu adalah wang perbelanjaan pilihan raya.
"Anda tidak akan tahu berapa banyak (kempen pilihan raya) dengan tepat. Dan anda tidak akan tahu berapa banyak orang yang menyumbang kepada anda.
"Apabila anda bertanding dalam pilihan raya, anda perlu memikirkan masa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Jangan lupa saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan 13 parti komponen.
"Menguruskan sebuah parti besar dengan tiga juta ahli seperti UMNO adalah urusan yang mahal. Dan lagi, ia direkodkan, ketika Dr Mahathir meletak jawatan, beliau menyerahkan lebih RM1.4 bilion kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam aset dan wang tunai. Itu tercatat," katanya.
Apabila diberitahu Dr Mahathir tidak menyerahkan wang tunai RM1.4 bilion, Najib berkata: "Ya, ada wang tunai, tetapi semasa pilihan raya, anda tidak melakukan transaksi menggunakan sistem perbankan kerana wang dikehendaki segera oleh parti."
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata terdapat sejumlah wang tunai miliknya daripada wang RM116 juta dalam 26 mata wang berbeza yang ditemui polis.
"Terdapat beberapa wang milik saya kerana saya mengembara selama lebih 30 tahun. Tetapi terdapat juga sumbangan dalam mata wang asing, sesetengah orang menyumbang mata wang asing," katanya.
0 Ulasan
jerit kat sini