Loading...
Malunya...Patutlah Orang Bunyikan hon
KUANTAN - “Saya hairan... sepanjang perjalanan memandu kereta sejauh kira-kira 10 kilometer, ramai bunyikan hon kenderaan masing-masing setiap kali mereka memotong kereta saya,” kata Siti Hafsah Abdullah, 30.
Menurut Siti Hafsah, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kemunting ke Taman Tas, di sini.
“Saya dapat rasakan perjalanan saya agak pelik waktu itu sebab tak pernah ada pengalaman orang bunyikan hon pada saya,” katanya.
Menurutnya, ketika itu timbul pelbagai perasaan tidak menentu apabila seorang demi seorang pengguna jalan raya memberikan hon.
“Saya malu dan takut serta rasa mahu menangis kerana tak tahu apa salah saya sepanjang memandu dari Kemunting ke Taman Tas,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di Taman Tas, dia dimaklumkan seorang pengguna jalan raya terdapat sekeping nota pada keretanya, lantas dia memberhentikan kenderaannya.
Menurutnya, dia kemudian memeriksa keretanya dan mendapati terdapat sekeping kertas tertera tulisan ‘ Hari ini, hari lahir saya. Hon 1 kali, TQ’ ditampal di but belakang keretanya, sebelum dia terus menanggalkannya.
“Mulanya memang saya rasa marah dengan kejutan itu. Tapi lama-kelamaan saya terharu dengan kejutan daripada rakan-rakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Hafsah juga berpandangan warga Kuantan memang ‘sporting’ kerana melakukan apa yang tertulis pada nota berkenaan.
Menurutnya, sebelum itu, rakan sepejabatnya sudah membuat kejutan dengan memberi hadiah kek, bunga dan teddy bear, namun langsung tidak menyedari ada kejutan lain yang lebih berharga baginya.
“Sambutan hari lahir saya tahun ini nampak kelainan kerana ia turut disambut warga Kuantan, meskipun dia tidak pernah meminta untuk diperlakukan seperti itu.
“Saya akan simpan kenangan manis ini dalam lipatan sejarah hidup saya. Memang tak boleh nak gambarkan perasaan saya ini macam mana.
“Kepada rakan semua, kejutan anda semua memang menjadi. Buat saya gugur jantung,” katanya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, Siti Hafsah percaya perbuatan tersebut dilakukan salah seorang rakannya pada waktu rehat memandangkan dia jarang keluar makan waktu tengah hari.
Berikutan kejadian itu, Siti Hafsah memuatkan satu status dan sekeping gambar di laman sosial Facebook warga Kuantan mengatakan kegembiraan selain berterima kasih kepada yang memberikan hon kepadanya.
0 Ulasan
jerit kat sini