Pasport rahsia Kim Jong Un ditemui,Lihat Foto Pasport

Pasport rahsia Kim Jong Un ditemui,Lihat Foto Pasport

Loading...
Pasport rahsia Kim Jong Un ditemui

LONDON – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan mendiang bapanya, Kim Jong Il melakukan penipuan untuk mendapatkan pasport Brazil bagi memohon visa untuk lawatan ke negara-negara Barat pada 1990 an, kata lima sumber negara Barat kepada Reuters.

Keluarga pemerintah Korea Utara itu sebelum ini diketahui menggunakan dokumen perjalanan palsu. Salinan pasport Brazil yang dilihat Reuters tidak pernah disiarkan sebelum ini.

“Mereka menggunakan pasport Brazil ini, yang mana jelas menunjukkan gambar Kim Jong Un dan Kim Jong Il cuba mendapatkan visa dari kedutaan asing,” kata seorang sumber keselamatan kanan Barat yang tidak mahu dikenali.

“Ini menunjukkan keinginan untuk mengembara dan menunjukkan keluarga pemerintah itu kemungkinan cuba membina laluan untuk melepaskan diri,” kata sumber keselamatan itu.
Kedutaan Korea Utara di Brazil enggan mengulas mengenai perkara itu.

Kementerian Luar Brazil berkata, ia sedang menyiasat perkara tersebut.

Seorang sumber warga Brazil yang tidak mahu dikenali berkata, dua pasport yang menjadi persoalan itu adalah dokumen yang sah apabila ia dihantar kepada konsulat untuk dikeluarkan.

Empat orang sumber keselamatan kanan Barat mengesahkan dua pasport Brazil dengan gambar Jong Un dan Jong Il menggunakan nama Josef Pwag dan Ijong Tchoi yang digunakan untuk memohon visa sekurang-kurangnya untuk dua negara Barat.
Adalah tidak jelas sama ada visa dikeluarkan.

Pasport tersebut juga mungkin digunakan untuk mengembara ke Brazil, Jepun dan Hong Kong, kata sumber keselamatan itu.

Pada tahun 2011, akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun melaporkan pada 1991 Jong Un yang masih lagi kanak-kanak melawat Tokyo dengan menggunakan pasport Brazil, sebelum dua pasport Brazil itu dikeluarkan.

Kedua-dua pasport yang mempunyai tempoh selama 10 tahun itu menunjukkan cop ‘Kedutaan Brazil di Prague’ dengan tarikh dikeluarkan pada 26 Februari 1996. Sumber keselamatan itu berkata, teknologi pengecamaan wajah mengesahkan gambar-gambar itu adalah Jong Un dan bapanya.

Pasport dengan gambar Jong Un tertera nama Josef Pwag dengan tarikh lahir pada 1 Februari 1983.

Sedikit maklumat diketahui mengenai Jong Un, malah tarikh lahirnya dipertikaikan. Beliau mungkin berumur antara 12 hingga 14 tahun ketika pasport Brazil itu dikeluarkan.
Jong Un mendapat pendidikan di sekolah antarabangsa di Berne, Switzerland yang mana beliau menyamar sebagai anak pemandu di kedutaaan.

Pasport Jong Il dikeluarkan atas nama Ijong Tchoi dengan tarikh lahir pada 4 April 1940. Jong Il meninggal dunia pada 2011. Beliau dilahirkan pada 1941.

Kedua-dua pasport menyatakan pemegangnya dilahirkan di Sao Paulo, Brazil.
Sumber keselamatan enggan menyatakan bagaimana salinan pasport itu diperolehi, berdasarkan peraturan-peraturan kerahsiaan.

Reuters hanya melihat salinan pasport, oleh itu tidak dapat memastikan jika ia telah diubahsuai. – Reuters

Catat Ulasan

0 Ulasan