Ngeri....Masih dengar bunyi ketukan dari dalam kapal korek

Ngeri....Masih dengar bunyi ketukan dari dalam kapal korek

Loading...
Ngeri...Masih dengar bunyi ketukan dari dalam kapal korek:


MUAR – Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih mendengar bunyi ketukan dari dalam kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang terbalik semalam, dipercayai isyarat daripada anak kapal yang terperangkap.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana madya Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata pihaknya percaya anak kapal terbabit berada di dalam bilik enjin kapal malang tersebut.

“Kita belum dapat pastikan berapa jumlah dan identiti mangsa yang masih hidup setakat ini,” katanya kepada pemberita di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka dekat Muar hari ini.

Semalam, pasukan SAR mengeluarkan empat anak kapal warga China dengan seorang daripadanya meninggal dunia. Dilaporkan 14 lagi masih hilang dan dipercayai terperangkap di dalam kapal berkenaan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kerja-kerja menyelamatkan anak kapal terbabit akan dibuat sebaik sahaja operasi menarik kapal berkenaan ke kawasan cetek selesai.

“Kita perlu membawa kapal berkenaan ke tempat lebih cetek bagi memastikan keadaan kapal stabil dan terletak di atas tanah terlebih dahulu sebelum menghantar pasukan penyelam ke dalam kapal bagi menyelamatkan mangsa,” katanya.

Zulkifili berkata kejayaan operasi berkenaan adalah kritikal kerana kemungkinan mangsa yang terperangkap kehabisan udara adalah tinggi berikutan ruangan enjin yang sempit.

Katanya jika operasi fasa satu itu gagal, pasukan SAR akan melaksanakan pilihan kedua iaitu memotong sebahagian tiang kapal bagi menstabilkan kedudukannya sebelum menghantar pasukan penyelam untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Sekarang ini kita tidak boleh terus memotong bahagian atas kapal yang terbalik bagi mengeluarkan mangsa kerana bimbang akan berdepan dengan dua risiko iaitu risiko kebakaran kerana kerja pemotongan perlu mengunakan api dan boleh menyebabkan kebakaran serta membahayakan mangsa yang berada di bilik enjin.

“Risiko kedua ialah jika kita bocorkan kapal ia akan menyebabkan udara keluar dan seterusnya menjejaskan ampungan kapal tersebut.

“Apabila keadaan tersebut berlaku kita tidak lagi dapat mengawal air masuk ke dalam kapal dan menyebabkan ia tengelam,” katanya. – BERNAMA

Catat Ulasan

0 Ulasan