Loading...
MH370: "Papa... Iman Rindu Sangat"
KUALA LUMPUR: Anak sulung kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan terus merindui bapanya yang pergi tanpa khabar berita susulan misteri kehilangan pesawat itu empat tahun lalu.
Namun Imam Mohd Hazrin yang berusia sembilan tahun tidak pernah jemu menunggu kepulangan bapanya yang dipanggil 'papa'.
"Papa... Iman rindu sangat kat papa. Iman banyak ingat pasal papa.
"Iman ingat papa baik, selalu ajak Iman main sama-sama. Iman rindu semua tu," katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis memperingati insiden MH370 buat tahun keempat di sini, Sabtu.
Majlis yang dihadiri beberapa waris dan keluarga mangsa MH370 turut disertai Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Sebahagian waris dan keluarga mangsa pada majlis memperingati insiden kehilangan MH370 di Kuala Lumpur, Sabtu.
Walaupun rindu menebal dalam dirinya, namun anak kecil ini tetap bersyukur kerana sentiasa bersama ibu, Intan Maizura Othman, 38, dan adik lelakinya, Muhammad Mohd Hazrin, 4.
"Iman nak belajar rajin-rajin, nak jadi bijak. Iman nak jaga mak dan adik," kata Iman.
Sementara itu, Intan menyifatkan anak perempuannya semakin memahami dalam menempuhi kehidupan mereka tiga beranak.
"Iman lebih realistik sekarang. Mudah untuk saya memberi penjelasan kepada dia dalam segala hal.
"Saya pun kena realistik dan menerima kenyataan. Sebagai umat Islam, kita reda dalam menjalani kehidupan dan bukannya meratap," katanya.
Bagi isteri pramugara MH370 ini, sebagai seorang wanita dan ibu, dia perlu tabah meskipun sentiasa mengenangkan suaminya.
"Suami kan... dia sentiasa 'ada'. Tak perlu nak tengok gambar pun, kenangan-kenangan tu ada," ujar Intan yang turut berharap agar ada penemuan terbaharu yang membawa kepada petunjuk kehilangan pesawat MH370.
Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac 2014. Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Ketika kejadian, Intan sedang mengandungkan anak keduanya, Muhammad sebelum bersalin pada Mei 2014.
1 Ulasan
Salam takziah... dah lama berlaku tp sebagai rakyat Malaysia ia sangat terkesan di hati. Semoga ahli keluarga mereka tabah dan Allah tempatkan mereka bersama org yg bertaqwa
BalasPadamjerit kat sini