Kerana Susuk,Pak Arab Tergila-gilakan Makcik Ketika Di Mekah

Kerana Susuk,Pak Arab Tergila-gilakan Makcik Ketika Di Mekah

Loading...
Kerana Susuk,Pak Arab Tergila-gilakan Makcik Ketika Di Mekah

HARI ketujuh arwah menghembuskan nafas dan selamat dikebumikan, dia dilihat berkeliaran di halaman rumah. 

Orang kampung yang terserempak, disapanya ramah.

Dia menyeringai menunjukkan wajah yang sudah pecah berulat. Semua yang terjemuh, berlari tidak cukup tanah. Khabarnya ada yang demam sebulan, kerana terkejut melihat mata kirinya yang pecah merekah lagi mengalirkan nanah.

Hari ke-10, arwah dilihat terketar-ketar merangkak di tepi pintu rumah. Sesiapa yang terserempak akan ditegurnya. Bau busuk usah dicerita. Wajahnya yang hancur dapat dilihat biarpun malam gelita dan hanya diterangi cahaya bulan.

Ada yang memberitahu, muntah sebesen apabila bau busuk dia melekat pada tubuh. Mereka memberitahu perutnya pecah dan bersimpul-simpul tali usus.

Hari ke-15, sekali lagi keluarga arwah menjerit gempar. Al-kisah, arwah pulang dan dapat dilihat bersingsing lengan di dapur. Di situ dia mencari nasi sehingga berlaga pinggan-mangkuk. Anak-anak memberanikan diri mengintai di dapur.

“Mak balik! Mak balik…!” Terketar-ketar si anak memberitahu. Dibacakan surah Yaasin, arwah muncul dengan muka berulat dan menepuk bahu si anak.

Bila Arwah Balik dan Sergah Orang yang Baca Surah Yaasin Untuknya
“Baca untuk siapa?” Tegurnya membuatkan si anak rebah pengsan.

Di bilik air, selalu kedengaran bunyi pancuran air memberi isyarat dia pulang mandi. Cadar kamar tidurnya kekadang renyuk petanda dia pulang tidur. Dia bagai tidak betah dan tenteram untuk berbaring di pusaranya. Puas si anak berubat, puas si suami yang ditinggalkan mencari penawar.

Setelah hampir 100 hari berlalu baru segala-galanya reda. Siapa sangka, disebabkan sebutir berlian yang ditanam di bawah kulit di hujung bibir, membuatkan roh yang pergi tidak mampu tenteram sehingga merayau-rayau dan meracau mengganggu mereka yang hidup.

Itulah ceritera orang dahulu kala, tidak perlu gunting, tidak perlu benang untuk menegangkan kulit. Tidak payah berluka, jauh sekali dilapah.

Cukup satu tusukan dan satu tanaman, semuanya mampu kembali bersinar. Yang kendur kembali tegang. Yang kedut kembali mulus. Yang kurang pesona menerjahkan kembali rasa berahi. Semua memandang pasti tertoleh, semua melihat pasti teringat.

Orang Dulu-dulu Ramai yang Pakai Susuk Tapi…

Susuk bukan sesuatu yang asing. Mungkin susuk tidak relevan sekarang namun dahulu khabarnya dengan susuk, tenaga empat kerat mampu menerangkan hutan belantara. Kalau turun ke laut, jejaka bersusuk mampu menjinakkan ribut.

Tentunya yang bergelar isteri, susuk mampu memberi kepuasan dan nikmat batin tidak terkata kepada sang suami. Susuk boleh saja ditusukkan di mana-mana. Mahu di bibir sebagai pemanis. Mahu di dada agar segar, mengkal dan mekar.

Atau di pinggul biar kekal lentik kala langkah dihayun. Tapi apa benar susuk tidak lagi relevan pada waktu sekarang? Tetapi yang jelas, masih ada insan yang sanggup meredah desa terpencil, mencari dukun terhandal untuk susuk. Niatnya untuk apa?

 Ah, itu terpulang!
Wanita ini memang layak dipanggil sebagai nenek. Tuanya sudah bercucu, usianya juga menginjak penghujung 60-an. 

Tapi percayalah, sesiapa jua yang memandang, dapat merasakan apa yang Raden lihat.
Bayangan cahaya jernih dan berkilau seakan menyimbah seluruh tubuhnya. Siapa boleh menduga, orang tua ini mampu membuatkan kita yang memandang menoleh dua tiga kali.

“Masa di Mekah, pak cik cemburu dengan mak cik!

 Cemburu meluap bila pak arab-pak arab suka melayan dan berbual dengan mak cik,” ceritanya bangga. Wah, Raden semakin terkesima! Seorang tua seperti nenek ini mampu mencuri hati pak arab. Khabarnya memang si suami cemburu melihat isterinya yang tua itu kerap menjadi perhatian lelaki di sana.

“Mak cik memakai ya?” Ringan benar mulut Raden bertanya kepada arwah. Dia sekadar diam tetapi menghadiahkan Raden dengan senyuman manis.

“Muka mak cik lainlah. Dah tua, tapi nampak manis aje!” Raden menjolok lagi. Bukan mahu mengampu jauh sekali memuji berlebihan. Tetapi itulah hakikatnya. Nenek tua yang dipanggil mak cik itu memang ada sesuatu! Tetapi tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata kasar.

“Kita perempuan, kenalah jaga diri. Biar orang memandang cantik aje.”

Balasnya sambil membetulkan kerongsang berbentuk pecahan bintang daripada batu intan di kebaya labuhnya.

“Macam mana?” tanya Raden.

“Kalau nak tahu, datang malam nanti.”
Wah, Raden menjadi tidak percaya.

Bila Jampi Serapah Jadi Ibu Gula

Seribu pesanan diberi kemudiannya. Dari mula mahu menceduk air untuk bersiram, hingga menyarung kain basahan, mula bersikat dan berbedak, semuanya penuh jampi serapah yang diajar arwah. Entah ya entah tidak, semua jampi menjadi ibu gula. 

Yang nyata selepas itu, mereka yang memandang Raden menjadi gundah-gulana. Mereka yang mahu menghulurkan cinta, luar biasa ramainya. Raden teruja!

“Mak cik, macam mana nak dapatkan muka bersinar-sinar macam cahaya berlian?” Raden sebenarnya berkias ibarat. Mahu berterus-terang bimbang dikatakan menggelupur dan tidak sabar. Dia tetap diam. Sesekali menarik nafas lelah.

“Kau belum ada laki!” Suara itu ketar tetapi tegas.

“Apa salahnya?” Raden memujuk lagi.

“Kalau bersusuk biar dah ada suami. Biar gunanya mengikat suami.”

“Kalau dah ada suami, buat apa payah-payah bersusuk?” pintas Raden separuh kecewa. Raden menjadi berani kerana hati benar-benar mahu merasa keajaiban susuk yang sering membuat lelaki tertunduk dan tersungkur mengejar cinta perempuan.

“Kalau sudah berlaki, susuk itu untuk suami! Biar dia ingat kita. Biar dia sayang kita saja. Jangan dia berpaling kepada perempuan lain.”


Orang yang Pakai Susuk Akan diuji di Ambang Maut

Sehinggalah terjadi satu peristiwa pada suatu hari, sewaktu Raden menziarah mak cik. Mak cik mendengus. Nafasnya begitu berat. Bunyinya begitu menakutkan. Dia menggelepar seperti lehernya mahu disembelih. Matanya membuntang memandang siling. Jarang sekali berkerdip.

Hilang segala seri dan manis wajah yang menjadi igauan ramai lelaki selama ini. Dia terus mendengus dan menggelepar. Sesekali air liurnya meleleh dan hujung mulutnya berbuih. Nampaknya seolah terseksa menempuh sakaratulmaut. Raden sendiri meremang bulu roma memandangnya.

Sesekali dia mencungap seperti ikan tercampak dari air. Ada ketika dia mengerekot ketakutan. Entah apa yang digeruninya di atas siling itu tidaklah Raden ketahui. Lebih sebulan mak cik terlantar begitu. Bagai tengkorak yang bernyawa. Hanya kulit membalut tulang. Mak cik semakin lemah.

“Tak ada cara lain. Kita kena toreh tempat dia pakai susuk…” Beritahu seorang lelaki yang agak tua dan mungkin punya ilmu sehingga dapat menelesuri bayangan susuk pada tubuh mak cik. Semua yang mendengarnya tergamam.

“Ada satu lagi… bukan di bibir saja.”

“Ada lagi? Di mana?”

“Di bawah pusat. Ibu kamu beritahu sebelum dia jatuh sakit. Dia minta maaf kepada ayah,” terlontar juga suara suami mak cik, tidak berdaya sebenarnya.

Susahnya Nak Meninggal Dunia Sampai Bumbung Rumah Terpaksa dibuka

Maka berlakulah adegan yang tidak mampu dipandang oleh Raden. Azabnya tidak terkata. Pedihnya bagai kulit sendiri yang ditoreh pisau. Mak cik menggelupur dan meraung. 

Suaranya ngeri dan amat dahsyat. Selepas itu gempar apabila bumbung rumah tempat pembaringan mak cik terpaksa dibuka. Sekali lagi nyawa mak cik bagai direntap antara duri-duri yang tajam.

Aduhai, ampun! Taubat! Usahlah sesiapa di luar sana bermain dengan magik syaitan ini. Banyak lagi cara mahu menundukkan suami. Tidak perlu susuk, jangan dicuba mantera. Semua itu permainan iblis yang hanya membuat diri kita terperangkap dalam lohong yang amat derita.

Kata orang susuk besi untuk perkasa diri, susuk buluh perindu buat suara lunak manis, susuk berlian pemakai dipandang bagaikan bintang, susuk emas wajah bercahaya gemilang.

 Ah, Raden jeran! Senaraikan apa saja magiknya susuk. Kebahagiaan hidup bukan sewaktu kita bernyawa, namun ketenangan roh dan jasad selepas kita pergi, itu wajar diambil kira. Apatah lagi susuk itu memang sekutu syaitan! Tidak bererti kasih sayang suami atau taatnya kekasih kalau diri kita sebenarnya berkerudungkan cahaya susuk.

Oh, sewaktu menulis ini, Raden bagai terasa-rasa, mak cik yang bersusuk itu mengintai di belakang Raden. Roma Raden meremang. Bukankah dia sudah lama meninggal? Oh, renungnya tajam, matanya berjuntai di pipi. Oh, tidak!

Catat Ulasan

0 Ulasan