Seram...Tangisan Dari Kubur Lama

Seram...Tangisan Dari Kubur Lama

Loading...
Seram...Tangisan Dari Kubur Lama


Ahmad Dahalan menunjukkan kubur lama yang dipercayai pasangan suami isteri. 

BOTA: Kubur lama yang terletak di hadapan sebuah rumah di Kampung Aji Bota Kiri di sini pastinya menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Kubur tidak bernama itu dipercayai milik pasangan suami isteri wujud sejak puluhan atau mungkin ratusan tahun sehingga kini misteri kerana tidak tahu siapa pemiliknya.

Kewujudannya tidak menjadi masalah kepada penghuni rumah berdekatan kerana mereka telah biasa dengan keadaan itu dan tambahan pula tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Ahmad Dahalan Pandak Mahathir, 65, berkata, kubur lama itu wujud sejak sekian lama malahan ketika arwah ayahnya masih kecil kubur berkenaan sudah ada.

“Kubur ini hanya diletakkan batu nisan daripada batu sungai sahaja dan dipercayai ia milik pasangan suami isteri kerana terdapat empat batu nisan yang terletak berhampiran.

“Saya ada juga bertanya orang tua-tua dahulu namun masing-masing juga tidak dapat menceritakan siapa pemilik kubur ini dan kenapa ia berada di sini,” katanya.

Ahmad Dahalan berkata, ketika arwah ayahnya masih hidup ada berlaku perkara pelik berkenaan kubur itu namun dia sendiri tidak tahu mahu mempercayainya atau tidak.

“Jika bakal berlaku kes kematian di kampung ini, kami akan mendengar seolah-olah kubur ini menangis pada waktu malam dan selang dua atau tiga hari pasti ada kematian berlaku.

“Namun begitu, saya sendiri tidak tahu mahu mempercayainya atau tidak dan kami hanya buat tidak tahu memandangkan ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kami,” katanya. 

Catat Ulasan

0 Ulasan