Misteri Busut Besar Yang Hidup Di Bawah Masjid Kuala Dulang

Misteri Busut Besar Yang Hidup Di Bawah Masjid Kuala Dulang

Loading...
Misteri Busut Besar Yang Hidup Di Bawah Masjid Kuala Dulang
Masjid Kuala Dulang diawal pembinaannya


KUALA KLAWANG: Selain misteri dulang makanan di Masjid Kuala Dulang di Jelebu, beberapa peristiwa aneh lain masih sukar dilupuskan daripada ingatan penduduk di situ.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Dulang, Suffian Arif, peristiwa yang masih terpahat kuat dalam ingatannya ialah ketika membuang busut besar di bahagian bawah masjid itu yang wujud sejak sekian lama.
  "Saya beberapa kali diminta untuk membuang busut itu. Setiap kali buang, keesokan hari busut itu muncul kembali.
  "Ketika mula-mula buang, saya tidak berasa pelik sangat. Bagaimanapun, selepas beberapa kali, saya seperti serik hendak 'mengganggu' busut itu kerana pasti akan muncul kembali," katanya yang turut mengakui sering berbau harum di kawasan masjid itu.
Selain itu, katanya peristiwa lain ialah ketika mengerjakan solat berjemaah di masjid berkenaan pada beberapa tahun lalu.
"Ketika itu, saya berada di saf akhir bersama beberapa jemaah lain. Apabila rukuk, saya seakan ternampak di sebelah dan belakang saya penuh dengan 'orang' yang turut bersolat.
  "Saya buat tidak tahu dan tidak memikirkan apa-apa. Tetapi sebaik memberi salam, saya terkejut kerana semua 'orang' itu tiada," katanya.
  Anak jati Kampung Kuala Dulang itu berkata, setiap malam Jumaat, masjid yang mampu memuatkan kira-kira 200 jemaah itu, akan dikunjungi ramai orang bukan sahaja dari kampung itu, tetapi dari negeri lain.
  Katanya, mereka akan membawa banyak makanan seperti pulut kuning, buah-buahan atau roti, dan meminta imam untuk menerima sebagai tanda mereka bernazar atau untuk mendoakan kesejahteraan.
  "Pada suatu malam Jumaat, saya nampak sebuah kereta datang dan turun seorang wanita berbaju kebaya seperti gaya orang pada tahun 1950-an, membawa bakul berisi makanan.

  "Saya tanya siak ketika itu, Allahyarham Abdul Aziz Samah, siapa wanita itu. Dia beritahu wanita itu adalah orang bunian yang selalu datang ke masjid itu," katanya yang mengaku terkejut selepas dimaklumkan demikian.
  Katanya, setiap orang akan berhadapan pengalaman yang berbeza ketika berada di masjid itu, termasuk seorang wanita yang pernah bercakap besar mengenai masjid itu.
  "Wanita itu datang dari sebuah negeri lain. Dia tahu kisah misteri di masjid itu, tetapi tidak percaya. Ketika duduk seorang diri dalam masjid, saya difahamkan dia ternampak 'sesuatu'. Perkara itu menyebabkan dia mengakui kebenaran keramat masjid ini," katanya.
  Suffian berkata, satu lagi kisah pelik yang pernah berlaku ialah terdapat banyak pinggan mangkuk di masjid itu yang tidak diketahui asal-usulnya.
  Katanya, penduduk kampung meminjam pinggan mangkuk itu setiap kali mengadakan majlis atau kenduri, tetapi sikap sebahagian penduduk yang tidak memulangkan dan menggantikan semula pinggan mangkuk yang pecah menyebabkan semua perkakas itu hilang tanpa dapat dikesan.
  Walaupun pelbagai kisah misteri menyelubungi masjid itu, katanya penduduk kampung dan jemaah masjid melakukan aktiviti di masjid itu seperti biasa, termasuk kelas agama.
  Katanya, perkara yang pelik itu tidak mustahil kerana semua itu adalah kuasa Allah dan bagi yang hidup, perlu mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku.


Catat Ulasan

0 Ulasan