Gambar Ibu Tertidur Keletihan Bersama Lego Buat Netizen Sedih

Gambar Ibu Tertidur Keletihan Bersama Lego Buat Netizen Sedih

Loading...
Gambar Ibu Tertidur Keletihan Bersama Lego Buat Netizen Sedih

GARA-gara terlalu letih, seorang wanita tertidur bersama mainan Lego yang bersepah di lantai, dengan patung seorang lelaki masih berada dalam genggamannya.

Gambar ini mungkin nampak biasa, tetapi ia sebenarnya meruntun hati kerana Laura Corrigan, ibu kepada dua anak ini, keletihan selepas menerima rawatan kanser.
Lebih menyayat hati apabila gambar ini dirakam oleh Max, anak lelakinya yang berusia enam tahun.

Ia adalah satu realiti yang perlu dihadapi oleh ibu bapa yang menghidap kanser, termasuklah ibu tunggal berusia 36 tahun ini yang tertidur keletihan ketika melayan anak-anaknya bermain.

"Anak saya mengambil gambar itu," kata Corrigan, yang juga mempunyai anak berusia 19 bulan, Finn.

"Masa tu saya betul-betul keletihan, ketika saya menjalani radioterapi dan kemoterapi."
Corrigan, dari Durham, didiagnosis kanser usus pada Mac tahun lepas, sembilan bulan selepas melahirkan anak bongsunya.

Najisnya berdarah, sakit perut dan kerap pergi ke tandas.

Doktor memberitahu bahawa penyakit itu sangat jarang berlaku pada usianya.




Corrigan bersama dua anaknya. -foto Laura Corrigan

Hampir setahun selepas didiagnosis, Corrigan terus menjalani kemoterapi dalam usaha untuk mengecutkan tumor utamanya dan yang lain di paru-parunya.

Dia juga terpaksa membesarkan dua anaknya yang aktif tanpa bantuan suami.

"Anak bongsu saya bangun kira-kira pukul 5 pagi, ia meletihkan," katanya kepada Mirror Online.
"Saya kadang-kadang tertidur di sofa."

Dia banyak meluahkan perasaan di media sosial kerana penyelidikan baharu menunjukkan puluhan ribu wanita yang menghidap kanser menggunakan platform itu untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Penyelidikan oleh Macmillan Cancer Support itu menunjukkan lebih daripada 370,000 wanita yang berjuang atau pulih dari penyakit itu selepas beralih kepada media sosial.
Dianggarkan lebih daripada 90,000 wanita Inggeris menggunakan laman seperti Facebook, Twitter dan Instagram semasa menghidap kanser untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

Lebih dari satu pertiga berkata mereka seperti 'boleh menjadi diri sendiri' dalam talian, menurut penyelidikan itu, yang dikeluarkan sebelum Hari Kanser Sedunia pada Ahad.
Corrigan berkata menggunakan media sosial telah membenarkannya berhubung dengan orang lain yang turut memerangi penyakit itu.

Dia menggunakan Instagram untuk menyiarkan gambar, berkongsi pemikirannya dan menulis perasaannya. Dia juga mempunyai blog inspirasi 'Cancer, Milk & Rainbows'.
"Saya ada Instagram dan blog yang saya tulis bila saya mampu dan dapat berhubung dengan ramai orang, juga dalam kumpulan sokongan Facebook," katanya.

"Ia membantu saya, menulis pandangan dan meluahkan perasaan serta berhubung dengan orang lain.

"Membiarkan orang lain tahu bahawa ada maklumat dan sokongan di luar sana sangat penting kerana kanser membuatkan seseorang itu rasa terasing.

"Anda sering dikelilingi oleh orang tetapi tidak ada yang benar-benar memahami kecuali mereka mengalaminya."

Catat Ulasan

0 Ulasan