Loading...
Firasat Pelik Amitabh Bachan Sebelum Kematian Sridevi
KEMATIAN bintang Bollywood Sridevi Kapoor akibat serangan jantung di usia bakal menginjakk 55 tahun sangat mengejutkan penggemarnya di seluruh dunia.
Dua hari sebelum meninggal dunia, mendiang kelihatan ceria meraikan perkahwinan anak saudaranya di Dubai.
Namun, ada cerita di sebalik kematian bintang bermata bundar tersebut berdasarkan tulisan rakan seperjuangannya, bintang legenda, Amitabh Bachchan.
Petikan dari Zeenews, pada Isnin mengatakan pada Sabtu malam, Amitabh memuatnaik tulisan meluahkan perasaan aneh dan cemas yang dirasainya secara tiba-tiba.
“Na jaane kyun, ek ajeeb si ghabrahat ho rahi hai,” tulis aktor berusia 75 tahun itu di akaun media sosialnya.
Terjemahan tulisan itu membawa maksud,” Tak tahu mengapa, ada rasa was-was yang aneh”.
Butiran itu sekaligus membuatkan netizen merasakan itu merupakan firasat dialami Amitabh terhadap kematian Sridevi.
Amitabh dan mendiang Sridevi bukanlah orang asing. Mereka sangat popular sebagai pasangan di dalam banyak filem antaranya, Bombay Talkies, Inquilaab, Aakhree Raasta dan Khuda Gawah.
Mereka juga membintangi filem English Vinglish pada 2012 yang merupakan kemunculan semula mendiang setelah berundur seketika dari industri perfileman pada 1997.
Bahkan sebelum itu, Amitabh juga memuatnaik sekeping gambar lama ketika mereka beraksi dalam filem Inquilaab.
Setelah lebih 24 jam meninggal dunia, jenazah mendiang diterbangkan pulang ke negara kelahirannya, India pada Isnin.
Petikan dari Times of India melaporkan, proses tersebut mengambil masa lama lantaran undang-undang di Dubai harus melakukan proses post mortem untuk kematian yang berlaku di luar hospital.
Jenazah diterbangkan melalui sebuah jet peribadi sumbangan seorang ahli perniagaan terkemuka India. Pihak keluarga masih belum mengumumkan lokasi persemadian terakhir bintang filem klasik popular Nagin itu.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, pengarah Boney Kapoor serta seorang dari dua anak perempuannya, Khushi.
Sepanjang lima dekad berada di industri perfileman, Sridevi sudah membintangi banyak filem box office dalam bahasa Hindi, Tamil, Telugu, Malaylam serta Kannada.
Sridevi membuat kemunculan perdana di filem pada 1978. Sepanjang lima dekad beliau membintangi 150 judul filem termasuk filem-filem box office klasik popular, Mr India, Chandni, Chaalbaaz, Sadma dan Chandramukhi.
Pada 1997, beliau mengambil keputusan berundur dari industri seni selepas membintangi filem Judaai.
Pada 2013, kerajaan India menganugerahkan pingat Padma Shri, satu pengikrafan keempat tertinggi kerajaan India kepada orang awam.
Dikhabarkan, mendiang sebelum ini langsung tidak mempunyai sejarah penyakit jantung. Beliau secara tiba-tiba ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik mandi hotel penginapan di Dubai, lantas dikejarkan ke hospital.
Kemunculan sebagai cameo di dalam filem Zero lakonan Shahrukh Khan merupakan penampilan terakhir mendiang. Filem tersebut dijangka tayangannya hujung tahun ini.
0 Ulasan
jerit kat sini