Dari Kes Pembunuhan Kejam Noor Suzaily ke Gadis 17 Tahun Dirogol Secara Bergilir Sembilan Tentera, Antara Indikasi Masalah Mental Yang Meruncing?

Dari Kes Pembunuhan Kejam Noor Suzaily ke Gadis 17 Tahun Dirogol Secara Bergilir Sembilan Tentera, Antara Indikasi Masalah Mental Yang Meruncing?

Loading...
Dari Kes Pembunuhan Kejam Noor Suzaily ke Gadis 17 Tahun Dirogol Secara Bergilir Sembilan Tentera, Antara Indikasi Masalah Mental Yang Meruncing?:




“Kau bunuh adik aku! Kan? Kau bunuh, kan?” Sudah 17 tahun sejak saya mendengarnya kali pertama. Sampai sekarang, masih terngiang-ngiang di telinga akan kecamukan nada yang dihamburkan itu.

Muhairiss Mukhtar. Entah macam mana dia dapat menyelinap ke dalam lif sempit di Mahkamah Tinggi Shah Alam itu, di mana kes pembunuhan kejam adiknya, Noor Suzaily Mukhtar, 24, sedang berjalan.

Sedang Hanafi Mat Hassan, 34, yang dibicarakan atas tuduhan merogol dan membunuh jurutera komputer itu, tenang mendengar. Berdiri dengan tangan bergari di belakang, kurang dua kaki jaraknya dari Muhairiss, dia yang senyum menggeleng kepala perlahan, membalas lembut: “Mana ada, bang.”

Dan, untuk beberapa saat nafas saya seakan terhenti.

Bagi seorang yang sedang berdepan kemungkinan dihukum gantung, reaksi selamba lelaki asal Kampung Renek, Kota Bharu, Kelantan itu buat saya berderau. Seperti sardin, kami berlima termasuk dua anggota polis yang mengiringi Hanafi, terpinga-pinga menilai situasi.

Sejujurnya, saya yang terperosok di sudut kiri lif bersebelahan Hanafi, hanya mampu berdoa.

Noor Suzaily, gadis manis dengan lesung pipit dalam menghiasi wajah, merupakan kebanggaan pasangan Mukhtar Ibrahim, 72 dan Harison Husin, 68.

Satu-satunya perempuan daripada empat beradik, dia belum lama pulang daripada pengajiannya di United Kingdom sebelum ditemui mati dalam keadaan bogel di tepi jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang pada 7 Oktober 2000.

Perjalanan terakhir Noor Suzaily, juga penumpang terakhir di dalam bas yang dipandu Hanafi untuk ke tempat kerjanya di Pusat Perubatan Pantai di Klang telah menyerlahkan sisi haiwan lelaki itu.

Didedahkan dengan perincian kes pembunuhan kejam Noor Suzaily yang dikesan mengalami 44 jenis kecederaan, termasuk dirogol dan dibunuh dengan dijerut leher menggunakan kain dan dihentak kepala dengan atau pada sesuatu benda yang keras, liputan perbicaraan semasa saya masih bersama akhbar Harian Metro itu antara pengalaman yang cukup merengsakan.

Kerana, bagaimana mungkin untuk sesiapa menyedari “si gila” yang barangkali berada hanya di sebelah? Bebas hidup tanpa pengawasan, seorang dengan rekod jenayah seperti Hanafi menyatu dengan masyarakat sehinggalah dia kembali mengkhianati. Lebih malang apabila baik pihak berkuasa mahu pun masyarakat seolah jarang mahu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pernah membangkitkan mengenai keperluan melaksanakan sistem daftar pelaku jenayah, terutama membabitkan pesalah seksual, antaranya bagi dijadikan rujukan orang ramai atau majikan selain bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti rekod kesalahan lampau.

Ia, sepertimana dalam kes perogol bersiri, S Selva Kumar, 57, sekembalinya ke Malaysia, setahun lalu, selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual terhadap hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak pada akhir 1980-an.

 Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan polis akan memantau pergerakannya selama berada di negara ini.

Peluang kedua?

Hanafi, sebelum disabit kes Noor Suzaily, pernah terlibat dan dikehendaki polis bagi satu kes rogol membabitkan bekas isterinya sendiri di Mentakab, Pahang pada 1988.

  Utusan Malaysia di dalam laporan awal, juga menyebut mengenai pembabitan lelaki yang pernah berkahwin empat kali itu di dalam satu kes pecah amanah di Subang Jaya pada 1994, dan pernah ditahan serta didapati bersalah bagi satu kes samun dan dikenakan dua kali sebatan di Chukai, Terengganu pada 1996.



Atau, sudah lupakah kita pada Bapa-bapa Setan?

Mendahului senarai, bapa tiga anak berusia 36 tahun yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan tahun lalu atas kesalahan merogol, meliwat anak gadisnya yang berusia 15 tahun, hampir setiap hari.
Barangkali bapa paling durjana dekad ini, dia didapati bersalah atas 623 pertuduhan sumbang mahram – 591 daripadanya kerana meliwat anaknya, iaitu tiga kali sehari antara Januari dan Julai tahun lalu.

Semua pesalah seksual dan pedofil, menurut Datuk James Nayagam pula, iaitu ahli Majlis Perlindungan Kanak-kanak Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah disebabkan penyakit mental.

Di dalam kenyataannya yang disiarkan portal Malaysian Digest, beliau menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai bukan jenayah biasa kerana walaupun seseorang pesalah itu telah menjalani hukuman, tidak bermakna mereka telah pulih daripada masalah kesihatan mental.

Keseriusan situasi disahkan dengan kenyataan Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Perlis, Dr Ruzita Jamaluddin dalam ceramah ‘Menangani Stigma Penyakit Mental’ pada Seminar Kesedaran Minda Sihat Kepada Ketua-ketua Jabatan UniMAP di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis Pauh Putra pada Julai 2016 mengenai penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi selepas jantung pada 2020.

Ia menyusuli tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 Kementerian Kesihatan bagaimana sejumlah 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun didapati mengalami beberapa bentuk penyakit berkaitan mental seperti masalah kemurungan, skizofrenia dan bipolar.

Di dalam kes sembilan anggota tentera yang didakwa merogol seorang gadis berusia 17 tahun secara bergilir-gilir di sebuah hotel di Kluang, Johor, Disember lalu, aktivis sosial, Syed Azmi AlHabshi melihat kegagalan menyuburkan ruang berbual dengan anak-anak muda mengenai perhubungan lelaki dan perempuan yang sihat sebagai punca.

Di Malaysia, menurut satu kenyataan di Facebooknya, “kalau bercinta saja, kata haram, kata zina.” Jelasnya, menjauhi diri adalah yang terbaik namun “biarlah orang muda kita faham kenapa haram, kenapa kena kekang diri sebelum berkahwin.”
Gadis itu mengenali salah seorang daripada sembilan suspek itu yang kesemuanya berusia 23 tahun dan merupakan penuntut Kursus Artileri Kelas 2, Siri 3/2017 di 33 Rejimen Artileri Diraja (RAD) Kluang. Semua suspek yang kini direman seminggu, ditahan Khamis lalu oleh Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan maklumat polis.

Menerusi posting sama, Syed Azmi menambah: “Mereka juga wajar tahu kesan sebab dan akibat cinta tanpa ilmu, cinta ikut hati perasaan sahaja boleh memudaratkan bukan sahaja emosi tapi ekonomi, hormat diri dan seperti kes ini, fizikal yang parah.

“Kita ini manusia, lagi ditegah lagi dia nak buat. Jadi takkan nak gari dan kurung. Kita kena bercakap. Kita nak dihormati, anak-anak kenalah faham. Bukannya hormat ialah kita biarkan budak-budak buat apa yang mereka mahu tapi mereka kena faham apabila kita bagi mereka hak, ia datang bersama tanggungjawab.”

Hanafi mungkin sudah mati di tali gantung pada Disember 2008, tapi senyuman sinis yang dilemparkannya ke arah abang Noor Suzaily yang menumbuknya di luar mahkamah usai satu perbicaraan pada 2001, menambah gusar apakah dunia mulai diambil alih manusia bersifat binatang?

Foto hiasan: ING Image


Catat Ulasan

0 Ulasan