“Arwah Afini Seorang Yang Aktif Memanah”

“Arwah Afini Seorang Yang Aktif Memanah”

Loading...
“Arwah Afini Seorang Yang Aktif Memanah”

SEREMBAN: "Arwah seorang yang sangat aktif dalam sukan memanah," kata ibu saudara Nur Afini Roslan, 14, pelajar yang maut akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas di sini, Selasa.

Beliau yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita di perkarangan unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata kali terakhir berjumpa dengan anak saudaranya itu adalah sekitar Disember lepas.

“Arwah ini juga cucu saudara Rabuan Pit (bekas atlet olahraga) dan difahamkan insiden tersebut berlaku ketika anak saudaranya sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah, sempena hari sukan sekolah yang berlangsung esok.

“Arwah dan adik-beradiknya yang lain sangat aktif bersukan dan pernah mewakili Pahang dalam sukan memanah. Walaupun sudah berpindah sekolah dari Kuantan, Pahang ke Gemas awal tahun ini, dia masih aktif dengan sukan itu malah kini bapanya sendiri yang menjadi jurulatih,” katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini, anak keempat daripada lima beradik maut, manakala dua cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar Tingkatan Satu sekolah itu.

Beliau yang menetap di Klang, Selangor berkata di Gemas, arwah tinggal bersama bapanya manakala ibu dan empat lagi adik-beradiknya masih menetap di Kuantan.

Sementara itu, bapa mangsa Roslan Samad, 55, ketika ditemui berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya dan berharap kejadian malang yang menimpa anaknya itu tidak akan berulang lagi.  

“Saya harap kejadian ini tidak berulang pada masa akan datang dan perlu siasatan lanjut (mengenai) perkara ini,” katanya sebak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) negeri sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden berkenaan.

“JPN sudah menetapkan peraturan bagi kontraktor menjalankan kerja pembersihan di setiap sekolah termasuk waktu dan situasi yang sesuai. Ini yang kita nak siasat sama ada kontraktor ini mendapat kebenaran atau sebaliknya untuk memotong rumput di padang sekolah itu,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd Yusoff Ismail berharap orang ramai segera menghentikan tular gambar kejadian itu sebagai menghormati perasaan keluarga mangsa.

“Bagi pihak seluruh warga sekolah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan diharap  keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Saya akan membantu sedaya upaya untuk melicinkan proses menguruskan jenazah," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, jenazah tiba di HTJS untuk dibedah siasat pada pukul 3.45 petang diiringi bapanya dan polis.

Nur Afini dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Sungai Kelamah, Gemas, malam Selasa. - Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan