Amah tidur dengan anjing Rottweiler selama 2 bulan, maut,Jeritan Di Dengari Selang Sehari

Amah tidur dengan anjing Rottweiler selama 2 bulan, maut,Jeritan Di Dengari Selang Sehari

Loading...
Amah tidur dengan anjing Rottweiler selama 2 bulan, maut,Jeritan Di Dengari Selang Sehari


                        
Gambar diambil seorang jiran kepada amah berusia 21 tahun itu pada tarikh berbeza, mulai 20 Disember 2017 menunjukkan beliau tidur bersebelahan sangkar seekor anjing Rottweiler.

BUKIT MERTAJAM: Seorang pembantu rumah dari Indonesia yang didakwa didera majikannya, meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya di Hospital Bukit Mertajam, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Adelina meninggal dunia pada 4.45 petang tadi. Punca kematian belum dikenal pasti.

Wanita berusia 21 tahun dari Medan itu bekerja di sebuah kediaman di Taman Kota Permai, di sini.
Beliau dikesan cedera di tangan dan kakinya oleh seorang jiran yang prihatin.

Jiran itu berkata, Adelina dikesan tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler setiap hari hampir 2 bulan dan beliau enggan bercakap dengan mereka yang menyapanya.

Jiran turut mendakwa terdengar jeritan yang menjadi kebiasaan selang sehari.

Menurut jiran, Adelina dikesan tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler hampir 2 bulan.
Mengesyaki sesuatu tidak kena, jiran itu menghubungi seorang wartawan yang kemudiannya memaklumkan pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Joshua Woo dan rakan sekerjanya menemui pengadu pada jam 4 petang semalam dan mendapati Adelina terduduk di anjung kereta.

Seorang wanita berusia 60 tahun yang juga majikan Adelina meminta mereka “tidak menjaga tepi kainnya” dan tunggu anak perempuannya pulang.

Anak perempuannya bagaimanapun menafikan mendera atau menganiaya pembantu rumah itu, tetapi mengakui beliau pernah menampar Adelina “sekali dua”.

Wanita itu kemudian menjelaskan kecederaan dialami Adelina ialah akibat “bahan kimia kuat” kerana mendakwa pembantu rumahnya membuang air besar dalam saliran dapur menyebabkan ia tersumbat dan diminta menuang bahan kimia dalam saliran itu.

Beliau mendakwa Adelina tertumpah bahan kimia itu atas kaki dan tangannya sehingga menyebabkannya melecur.

Wanita itu kemudiannya membeli iodin untuk Adelina, namun ubat itu memburukkan proses penyembuhan dan lukanya.
Anak perempuan majikannya mengakui pernah menampar Adelina “sekali dua”.
Difahamkan, tangan dan kaki Adelina juga bernanah.

Woo kemudiannya memberitahu kumpulan memperjuangkan hak asasi pekerja asing, Tenaganita dan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata kematian amah itu disiasat sebagai kes bunuh.

Katanya, kes itu pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya lain.

Nik Ros berkata, wanita itu sudah bekerja dengan majikan kira-kira 2 tahun dan dibawa ke balai polis oleh majikannya.

“Apabila kami cuba bercakap dengannya, beliau masih takut dan enggan memberi sebarang keterangan,” katanya kepada wartawan hari ini.

Beliau berkata, Adelina kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dirawat.
Katanya, 2 beradik berusia 36 dan 39 tahun itu ditahan untuk siasatan.

Catat Ulasan

0 Ulasan