Kanak-kanak 12 tahun dari Kuching tersadai 9 jam di KLIA 2

Kanak-kanak 12 tahun dari Kuching tersadai 9 jam di KLIA 2

Loading...
Kanak-kanak 12 tahun dari Kuching tersadai 9 jam di KLIA2 kerana Polis Bantuan hilang budi bicara

KUCHING: Seorang penjawat awam hari ini melahirkan kekecewaannya terhadap “kebiadapan” pegawai Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang menyebabkannya terpaksa mengambil risiko meninggalkan anak perempuannya yang berusia 12 tahun keseorangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tanpa pengawasan hampir sembilan jam hari ini.
Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Jabatan Pendidikan Negeri, Wan Fadillah Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku pagi tadi apabila salah seorang daripada tujuh anaknya tercicir mykid ketika hendak mendaftar masuk penerbangan ke Kuching menggunakan pesawat Air Asia sekitar jam 1.40 petang.
“Apabila menyedari kehilangan MyKid itu, saya segera membuat laporan polis di KLIA2 sebelum menemui anggota keselamatan MAHB di pintu masuk pelepasan domestik untuk memaklumkan masalah yang dihadapi.
“Malangnya anggota terbabit bertegas, anak saya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan biarpun ditunjukkan laporan polis , salinan pasport dalam telefon bimbit dan salinan sijil surat beranak.
Kata Wan Fadillah lagi, lebih mengecewakan, beliau didesak untuk menunjukkan mykid dan sijil beranak asal, biarpun tahu sukar baginya untuk mendapatkannya pada waktu itu.
Saya menghubungi Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben untuk membantu dan pegawai-pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan KLIA2 telah cuba menghubungi Ketua Keselamatan Pelepasan Dalam Negeri berpangkat Inspektor, namun usaha mereka gagal.
“Sebaliknya pegawai terbabit mendesak Imigresen Sarawak memgeluarkan surat pengesahan, sesuatu yang amat mustahil diusahakan dalam jangka masa terdekat.
Oleh kerana waktu penerbangan semakin hampir, Wan Fadillah terpaksa membuat keputusan meninggalkan anaknya berseorangan di KLIA2 sebelum beliau sendiri mendapatkan pasport anaknya di Kuching, dan terbang kembali ke Kuala Lumpur.
“Saya ke KLIA2 menggunakan penerbangan pada jam 5.40 petang dan menjemput anak saya untuk terbang ke Kuching menggunakan penerbangan pada jam 10.35 malam.
Katanya, yang menjadi kekesalannya adalah tiada tindakan oleh pihak MAHB untuk menghulurkan bantuan dalam kes ini.
“Kita tahu mereka menjalankan tugas, tetapi mereka juga harus faham situasi seperti ini yang boleh berlaku kepada para penumpang, terutamanya orang luar.
“Seharusnya mereka menyediakan pegawai berautoriti yang boleh bertindak untuk menyelesaikan masalah sebegini, termasuk mempertimbangkan masalah yang dialami oleh pelanggan.
Katanya, beliau kesal dengan sikap tidak profesional MAHB, termasuk kesombongan pegawai barisan hadapannya.
“Mereka malah sehingga menghalang saya berjumpa dengan pegawai atasan mereka.
“Pengalaman ini amat mengecewakan dan saya akan membuat aduan rasmi kepada pihak Menteri Pengangkutan,” tambahnya lagi.
Sehingga berita ini ditulis pada jam 11 malam, dua beranak ini masih menunggu penerbangan yang lewat satu jam daripada yang dijadualkan. – SarawakVoice

Catat Ulasan

0 Ulasan