Trend Mati Seorang Diri Popular Di Jepun

Trend Mati Seorang Diri Popular Di Jepun

Loading...
Trend Mati Seorang Diri Popular Di Jepun

SEORANG lelaki berusia 50-an meninggal dunia di atas tilam ini lebih tiga minggu lalu.

BAU busuk menusuk hidung Hidemitsu Ohshima tatkala dia memasuki bangunan pangsapuri kecil di tengah bandar Tokyo, Jepun.

Menurut AFP, bau itu datangnya daripada mayat seorang lelaki yang mati sejak tiga minggu lalu.

Bilik itu mencerminkan kehidupan lelaki tersebut yang pembersih dan seorang pencinta muzik serta filem berdasarkan pelbagai koleksi cakera padat lama yang disimpan. Tiada sebarang gambar atau sekeping surat ditemui, petik Kosmo.

Lelaki yang berusia 50-an itu mati bersendirian walaupun dia tinggal di tengah kota yang menempatkan jutaan penduduk.

Kejadian itu menyebabkan Kodokushi atau mati bersendirian sebagai satu trend yang semakin menjadi-jadi di Jepun.

Dengan menggunakan sut putih lengkap bersama sarung tangan dan penutup muka, Ohshima mengangkat tilam yang sudah berulat itu secara perlahan-lahan.

Dia bukan sahaja mahu menahan bau busuk dan mengelak serangan pepijat tetapi memastikan tidak dijangkiti penyakit lain.

Kodokushi atau mati bersendirian adalah masalah yang semakin meningkat di Jepun apabila sebanyak 27.7 peratus daripada penduduk berumur lebih 65 tahun cuba mencari rakan seusia atau tinggal bersendirian berbanding bersama ahli keluarga mahupun ke pusat penjagaan orang tua.

Pakar mengatakan, kombinasi faktor kebudayaan, sosial dan demografi di Jepun telah menyebabkan trend berkenaan muncul dan semakin popular.
Budaya

Tiada angka rasmi yang mendedahkan jumlah kematian bersendirian daripada pihak berkuasa, namun kebanyakan pakar menganggarkan kejadian itu mampu mencapai 30,000 kes setahun.

Yoshinori Ishimi yang menjalankan perkhidmatan pembersihan Anshin Net yakin, angka sebenar jumlah kematian berkenaan adalah dua atau tiga kali ganda daripada apa yang masyarakat bayangkan.

Jepun mengalami perubahan budaya dan ekonomi yang begitu pantas sejak beberapa dekad lalu, namun apa yang menyedihkan masyarakat di negara itu masih tidak mahu menyerahkan beban untuk menjaga orang tua kepada ahli keluarga.

“Di Jepun, ahli keluarga sering menjadi individu terpenting untuk memberi sokongan dalam apa jua perkara tetapi sekarang keadaan sudah berubah, mereka lebih gemar tinggal dalam kelompok kecil,” kata Ketua Penyelidik, Institut Penyelidikan dan Informasi Mizuho, Fujimori.
Kadar penduduk yang berumah tangga juga semakin merudum apabila pakar mendakwa, ramai lelaki takut perkara itu akan menjejaskan kerjaya mereka kerana terlalu sukar untuk menyelesaikan dan memulakan hidup berkeluarga.

Malah kini, semakin ramai wanita memasuki alam pekerjaan dan tidak lagi memerlukan lelaki untuk membantu mereka. Perkara itu menyebabkan satu daripada empat orang lelaki berusia 50 tahun di Jepun tidak pernah berkahwin. Menjelang tahun 2030, angka itu dijangka meningkat kepada satu dalam tiga orang.

“Pada sisi lain, budaya masyarakat Jepun yang bersopan-santun sehingga takut mengganggu jiran mereka mengakibatkan kekurangan interaksi dan pengasingan. Jika situasi ini dibiarkan, akan ada lebih banyak kematian bersendirian berlaku,” ujar Fujimori lagi.

Selain menderita mati seorang diri, ia turut menghantui pemilik pangsapuri apabila tidak ada orang yang ingin menyewa atau membeli pangsapuri mereka. 

Catat Ulasan

0 Ulasan