Loading...
Jangan sebar streotaip salah tanggapan etnik.”
Itu komen Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika mengulas sekeping gambar tertera seorang wanita Melayu sarat mengandung duduk di lantai sebuah tren manakala di sebelahnya ialah dua wanita Cina yang duduk di atas kerusi.
Gambar itu kini tersebar di laman-laman sosial dan mengundang pelbagai reaksi.
Khairy memberi respon berkenaan ketika salah seorang pengikut laman Twitternya memuat naik gambar berkenaan dengan tweet berbunyi: “I guess 1Malaysia doesnt work.” (Saya rasa (gagasan) 1Malaysia tak berkesan).
Kebiasaannya penyedia perkhidmatan tren atau keretapi akan meletakkan papan atau pelekat yang menasihatkan penumpang supaya memberi keutamaan tempat duduk kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) atau ibu mengandung.
Beberapa pengikut Khairy melontarkan pandangan bahawa keadaan itu tidak ada kena mengena dengan konsep 1Malaysia, sebaliknya gambaran mengenai mentaliti segelintir pihak yang hanya mementingkan diri sendiri.
“Masalahnya ialah orang yang duduk, mentaliti mereka. Tiada kaitan dengan 1Malaysia, mana tahu kiasu,” ujar seorang pengikut Khairy yang menggunakan nama E is E.
Beberapa fan page di Facebook turut memuatnaik gambar berkenaan dengan melontarkan persoalan seperti “Sindrom aku peduli apa atau rasisme?”