Loading...
UJANG ALI memang begitu. Dia seorang yang mudah diajak berbincang. Sebab itu, bila ada cadangan agar dia mengahwini Piah, janda muda beranak tiga, dia terima saja.
“Tak apalah aku terima Piah jadi bini aku. Aku pun sudah lama sangat membujang,” kata Ujang Ali, bila ada orang tanya pasal dia kahwini Piah.
“Aku terima Piah jadi bini aku, sebab aku kesiankan Piah, dia telah lama menjanda. Pulak tu terpaksa pelihara anak seramai tiga orang, lagilah aku makin kesian dan sayangkan Piah dan anak-anaknya,” kata Ujang Ali, memberi alasan kenapa dia mengahwini Piah.
Kalau ikut ceritanya, Piah kematian suaminya, arwah Abang Lamat akibat penyakit kronik yang dihidapinya sejak sekian lama. Ujang Ali tahu benar yang Piah memang kasih sangat dengan arwah suaminya.
Menyusuri perjalanan hidup Piah dan arwah suaminya, memang amat menarik. Hidup sekampung membuatkan Ujang Ali arif sangat dengan kisah percintaan Piah dan arwah Abang Lamat yang akhirnya Piah mengahwini arwah Abang Lamat.
Hidup Piah dan arwah Abang Lamat memang bahagia. Melayari bahtera rumah tangga hingga melahirkan zuriat yang cantik dan comel benar-benar membuatkan Piah dan arwah Abang Lamat terlalu bahagia dan selalu menguntum senyuman.
Namun itulah, takdir Tuhan tak siapa mampu untuk menduga. Arwah Abang Lamat menemui ajal di kala Piah dan anak-anak masih mengharap pembelaan dan kasih sayang darinya.
Kematian arwah Abang Lamat, benar-benar membuatkan Piah begitu lara dan berduka. Ujang Ali tahu dan arif sangat akan perkara ini.
Ikut cerita lagi, arwah Abang Lamat tak meninggalkan banyak harta. Hanya tanah sekangkang kera dan sebuah rumah yang kian uzur. Semuanya ini membuatkan hati Piah kian risau mengenangkan kehidupannya. Apatah lagi memikirkan untuk membesarkan anak-anak yang amat dikasihi.
Ujang Ali dapat rasakan yang Piah agak pening kepala memikirkan anak-anak yang sedang bersekolah. Maklum saja, bila tengah sekolah dan belajar memerlukan belanja yang agak besar.
Derita hidup yang ditanggungi oleh Piah dan anak-anak telah ramai orang keliling makluminya. Demikian juga dengan Ujang Ali yang sememangnya agak rapat mengenali Piah dan anak-anaknya.
Sungguh Ujang Ali berasa kesian dengan duka lara kehidupan yang Piah tanggungi. Ekoran itu, bila ada cadangan agar dia mengambil Piah sebagai isterinya, dia tak fikir panjang lagi.
“Kahwin dengan Piah, alahai… memang aku setuju sangat. Lagipun, Piah masih muda walau tak cantik tapi masih nampak menarik,” kata Ujang Ali membuatkan Lamin yang berada di sisi tersenyum kambing.
“Tapi yang sebenarnya, aku nak kahwin dengan Piah kerana kesian sangat derita hidup yang ditanggung. Tambahan pula, anak-anak Piah perlu pembelaan. Maklumlah masing-masing sedang belajar di sekolah rendah,” Ujang Ali menyatakan hakikat sebenar mengapa dia sanggup mengahwini Piah.
Orang kampung mendapat tahu akan kesudian Ujang Ali mahu menjadikan Piah sebagai isteri cukup gembira sangat. Lebih-lebih lagi emaknya, Mak Jenab.
“Ujang oi… betapa seronok dan syukurnya hati emak ni bila dapat tahu kamu sudi untuk menamatkan zaman bujang kamu tu,” Mak Jenab meluahkan rasa hatinya.
“Emak tambah gembira dan bangga kerana kamu mahu kahwini Piah. Ini satu pengorbanan yang cukup besar, maklum saja sekurang-kurangnya kamu telah meringankan beban kehidupan Piah dan anak-anaknya yang sedang membesar dan bersekolah,” kata Mak Jenab, yang memberi banyak makna.
Kisah kesudian Ujang Ali mengahwini Piah telah berlalu. Tapi di sebalik kehidupan Ujang Ali sebenarnya dia menyimpan satu rahsia yang amat membebankan hati dan perasaannya selama ini.
Semua orang tahu, Ujang Ali telah lama membujang. Tapi, tak ramai yang tahu kenapa dia sanggup membujang begitu lama. Inilah yang jarang-jarang orang keliling mengetahuinya.
Kisahnya, di kala muda dulu, Ujang Ali pernah menjalin hubungan cinta dengan seorang gadis manis lagi baik. Namanya Nadia. Cinta yang dijalin memang berlangsung dengan lancar dan begitu membahagiakan hati kedua-dua pihak.
Ujang Ali memang gembira bukan kepalang, dengan jalinan cinta bersama Nadia. Nadia yang cantik tapi tak membangga diri. Kebaikan Nadia begitu terserlah, kerana sudi menerima dirinya sebagai kekasih, walaupun diketahui yang dirinya bukanlah sesiapa. Sekadar anak kampung yang serba kekurangan.
Kehadiran Nadia dalam hidupnya, membuatkan Ujang Ali kian bersemangat dalam mencari duit. Azamnya cuma satu, bila telah cukup duit nanti, dia akan menyuruh emaknya menghantar rombongan meminang Nadia untuk dijadikan suri kehidupannya.
Di sini, Ujang Ali main cinta dengan Nadia bukan sekadar main-main. Segalanya dilakukan dengan nawaitu yang tulus. “Kalau itu hajat Abang Ujang, Nadia tak banyak kisah. Nadia akan terima Abang Ujang dengan seadanya,” kata Nadia memberi penjelasan yang amat pasti.
Betapa Ujang Ali rasa gembira dan terharu dengan kesudian Nadia, untuk menerima lamarannya. Ini membuatkan dirinya tambah-tambah bersemangat dalam meningkatkan kualiti hidup dan mencari pendapatan yang lebih.
Namun itulah, takdir Tuhan tak siapa mampu untuk menghalang. Satu hari, kala pulang dari pekan, Nadia telah terlibat dengan kemalangan. Kemalangan itu mengakibatkan Nadia meninggal dunia.
Kematian Nadia secara tiba-tiba, benar-benar membekas di hati Ujang Ali. Dia sedih dan pilu dengan kehilangan Nadia yang amat dikasihi selama ini.
Duka lara kehilangan Nadia, memang bertahun juga Ujang Ali tanggung, kesedihan di hatinya turut dirasai oleh ibunya jua adik-beradiknya yang lain.
Ujang Ali sebagai abang yang sulong memang dikasihi oleh adik-beradiknya yang lain. Sebab itu, ada di antara mereka yang mencarikan dirinya calon isteri. Tapi semuanya ditolak dengan baik.
“Abang Ujang tak mahu kahwin lagilah. Panas cinta arwah Nadia seakan masih membara di hati abang ini,” Ujang Ali memberi alasan, bila adik-adiknya mencari calon isteri untuknya.
Tapi itu kisah lalu. Hari ini, Ujang Ali terpaksa menerima Piah, seorang janda muda sebagai isterinya. Nasihat Ustaz Jali melembutkan hatinya untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Tak baik membujang lama-lama. Banyak buruk dari baiknya. Lagipun, Islam amat menggalakkan agar umatnya segera berkahwin bila telah temui calonnya,” kata Ustaz Jali satu petang.
“Orang yang berkahwin akan diberi banyak ganjaran. Mencari rezeki untuk anak dan isteri, bukan sedikit ganjaran yang bakal diterima. Malah hidup akan terus dirahmati,” Ustaz Jali memberi tip-tip yang amat berguna.
Kini Ujang Ali telah menjadi suami kepada Piah dan ayah tiri kepada anak-anak Piah. Dia tak anggap anak-anak Piah sebagai anak tiri sebaliknya mereka semua dianggap anaknya sendiri.
Sudah jodohnya begitu. Ujang Ali terima dengan syukur dan seadanya.
0 Ulasan
jerit kat sini