Header Ads

"Adik, Tinggal Sikit Nasi Untuk Mak"

loading...
Awatif Sardi, 5, berdiri di depan rumah keluarganya yang musnah akibat banjir di Kampung Sat in Tanah Merah, Kelantan

KEROSAKAN dan kemusnahan akibat banjir besar yang melanda sebahagian Kelantan baru-baru ini adalah jelas. Hampir-hampir tiada kata yang dapat menggambarkan kesan yang dibawa aliran air yang naik begitu cepat.


Sudah banyak versi diceritakan mengenai suasana banjir itu. Namun apa yang pasti, keteguhan iman kebanyakan mangsa begitu mengagumkan.
Sekurang-kurangnya itu yang dirasai pegawai eksekutif Yayasan Aman di Sungai Petani, Kedah, Mohamad Azan Rejab.


Dalam misi bantuan yang disertainya, banyak kenangan unik dan menginsafkan dilalui Mohamad Azan.
Mohamad Azan (tiga dari kanan) bersama sukarelawan Yayasan Aman Kedah gigih mengagihkan bantuan untuk mangsa banjir.
“Antara yang sukar dilupakan ialah bagaimana mangsa banjir tidak berebut-rebut atau mementingkan diri sendiri ketika bantuan tiba,” katanya.
Menurutnya, di sebuah masjid, kira-kira pukul 9 pagi, petugas Yayasan Aman sedang mengagih-agihkan barang yang dibawa tetapi ada sebahagian lagi seolah-olah tidak menghiraukan sangat aktiviti itu.
Sebaliknya, kata dia, mereka khusyuk mengerjakan solat sunat atau membaca al-Quran.
“Bacaan itu kami dengar dengan jelas sebab menggunakan pembesar suara. Ramai juga, lelaki, wanita, dewasa dan kanak-kanak,” katanya.
Apa yang menarik, kata Mohamad Azan, wajah mereka tidak menampakkan rasa keluh-kesah, sebaliknya mangsa sentiasa tenang dan masih mampu tersenyum.
Nursyafiqah Ayuni (tengah), 10, menyuap nasi kepada adiknya Nursyarah Ariana (kanan), 2, di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Sri Kelewek, Tanah Merah, Kelantan. Di sebelah mereka, Mohd Shahril Aidil, 7. 
Situasi lain yang menyentuh perasaan kata Mohamad Azan adalah insiden ketika sukarelawan Yayasan Aman bersiap-siap mengisi perut dengan nasi bungkus sambil mengurangkan kepenatan selepas membantu membersihkan rumah penduduk setempat.

Sejurus kemudian, katanya, sekumpulan kanak-kanak mengelilingi mereka sambil memandang dengan penuh harapan.
Melihat keadaan itu, sukarelawan terbabit tidak jadi meneruskan makan kerana tidak sampai hati, sebaliknya menyerahkan bungkusan nasi masing-masing kepada kanak-kanak yang ramai itu.
“Kami nak kunyah pun tak sanggup, apa lagi nak telan,” katanya.
Selepas mendapat bungkusan itu, seorang daripada kanak-kanak yang usianya tujuh atau lapan tahun itu berpesan kepada adiknya: “Jangan habiskan semua. Simpan sikit untuk mak."
“Kata-kata itu menyebabkan kami menitiskan air mata terharu,” katanya.
sumber:Yayasan Aman

Tiada ulasan

jerit kat sini

Dikuasakan oleh Blogger.