Header Ads

Diantara Dayana,Sakinah Dan Ashraf....Ditengahnya??

loading...
                              
INTIM, mesra dan penuh ukhwah. Kemesraan yang bukan dibuat-buat, jauh dari lakonan semata-mata. Itu analogi saya dalam menggambarkan mahligai poligami Ashraf Muslim, 33, bersama isteri-isterinya, Noor Dayana Lokman, 27, dan Wan Sakinah Ahmad Shaburi, 30, serta puteri sulung mereka, Sarah Ashraf Mohd. Ashraf yang memasuki usia 54 hari.

Tatkala tercetusnya idea untuk menyatukan keempat-empatnya dalam satu sesi fotografi, ia bukanlah tugas yang mudah.

Terlalu banyak hati yang harus dijaga agar tidak terus diguris. Jujurnya, konsep poligami yang diamalkan Ashraf pada tanggapan sesetengah orang terlalu sensitif untuk dibicarakan secara umum.

Tidak berniat untuk mencoret berita sensasi bagi melariskan akhbar semata-mata, tetapi ia bermatlamat memberi platform kepada Ashraf sekeluarga berkongsi cerita manis mereka.

Poligami itu boleh dinikmati madunya jika mengikut unjuran dan panduan yang betul.

Malah, ia bukan salah meski tidak mudah. Sekurang-kurangnya keluarga muda ini boleh dijadikan sebagai teladan dalam mengecapi poligami yang manis dan indah.

Lantas, tanpa berlengah, telefon dicapai, mencari-cari nama Sakinah yang juga rakan sepengajian suatu ketika dahulu. Sejurus namanya terpapar di skrin, dia terus menghubungi.

Tugas yang pada awalnya dirasakan mustahil untuk direalisasikan, mendapat maklum balas yang positif daripada Sakinah, Ashraf mahupun Dayana tanpa sebarang kekangan. Cuma saya perlu bersabar menunggu masa yang sesuai untuk merealisasikannya.

Apatah lagi, Ashraf dan Dayana agak sibuk dengan karier masing-masing.

Maka segalanya diatur dan akhirnya, Sabtu lalu sesi fotografi yang dirancang lebih sebulan lalu menjadi kenyataan. Restoran Puteri Penchala, Damansara menjadi saksi detik pertemuan penulis dengan keluarga bahagia Ashraf.



Hikmah kelahiran Sarah

Walaupun pertuturan penuh kelembutan, saya dapat merasakan ketegasan dalam butir bicara Ashraf. Pintanya untuk tidak berbicara mengenai kisah lalu dihormati sebaik-baiknya. Banyak hati yang perlu dijaga, terkhilaf kata boleh merosakkan segala perasaan insan-insan lain yang mereka sayangi.

Kekal dengan ketampanan wajahnya bagaikan tidak dimakan usia, Ashraf yang murah senyuman menegaskan bahawa dia tidak mahu kisah silam diungkit untuk disensasikan, sebaliknya bersedia bercerita mengenai lembaran baharu hidupnya.

Masa depan dia dan isteri, serta keluarga besar lebih menjadi pilihan untuk dibicarakan, berbanding kenapa dan mengapa dia mengamalkan poligami.

Kehidupan yang dilalui hari demi hari juga menjadi lebih tenang dan kurang masalah, apabila sifat berterus terang menjadi pegangan.

Juga kehadiran Sarah pada tanggal 5 April lalu benar-benar membawa sinar dalam kehidupan dunia poligami yang diharungi bersama dua isteri, membuang segala keruh yang hadir dalam perjalanan hari semalam.

Bukan sahaja menceriakan Ashraf dan Sakinah sebagai ibu bapanya, bahkan bayi comel itu jugalah yang mengeratkan tali persaudaraan antara kedua-dua isterinya.

“Sebagai seorang suami yang memilih untuk berpoligami, semestinya perkara utama yang diimpikan adalah hubungan yang baik antara Dayana dan Sakinah. Saya suami dan peranan sayalah yang paling utama, perlu dominan.

“Syukur kepada Allah, impian tersebut bukan sekadar harapan, malah ia menjadi nyata. Segala doa yang saya panjatkan ke hadrat-Nya selama ini dimakbulkan secara sedikit demi sedikit, hari ke hari.

“Sekarang ini, hubungan kedua-duanya bertambah baik dan semakin akrab. Jika orang tidak tahu mereka bermadu, pastinya ramai yang beranggapan Dayana dan Sakinah adalah sahabat baik tatkala melihat kemesraan mereka," cerita Ashraf memulakan temu bual pada petang itu.

Tambah lelaki yang membesar di Terengganu itu, Sarah juga memainkan peranan penting dalam membina semula hubungan antara dirinya dengan keluarga Dayana sebelum ini. Lelaki ini mengakui bahawa pada awalnya hubungannya dengan keluarga isteri pertama sedikit tercalar ekoran dia membuat keputusan 'memadukan' Dayana.

Turut menggunakan Dayana sebagai medium perantara, akhirnya Ashraf dapat merasakan keprihatinan yang ditunjukkan keluarga itu terhadapnya sebagai menantu.

“Walaupun tidak begitu drastik, ia suatu perkembangan positif dalam membina semula ikatan kekeluargaan yang sedikit retak sebelum ini. Mudah-mudahan dengan doa tanpa putus, kekeruhan itu akan kembali jernih jua," katanya penuh harap.

Di samping itu, ketenangan adalah kunci utama bukan sahaja untuk melayari bahtera hidup berkeluarga, bahkan dalam segala situasi yang berlaku di sekelilingnya.

“Saya selalu ingatkan diri sendiri dan isteri-isteri supaya selalu berdoa dan bertenang. Saya yakin, apabila hati serta fikiran sudah tenang, insya-Allah apa jua dugaan dan halangan akan berjaya ditempuhi dengan baik," ceritanya berkongsi petua yang diamalkan.

                                 

DAYANA (kiri) dan Sakinah menerima takdir hidup bermadu dengan penuh reda.
SEMENTARA itu, Sakinah pula mengakui bahawa telinganya sudah lali dengan cemuhan yang dilemparkan kepadanya setelah menerima lamaran sebagai isteri kedua Ashraf.

“Saya tidak nafikan, awal pernikahan kami, segala cacian dicuci dengan air mata yang bergenang. Saya menangis setiap detik apabila dilabel sebagai perampas. Namun sekian lama, atas didikkan yang diberikan Ashraf, saya semakin tabah. Akhirnya kini, saya lali dengan segala bentuk hinaan yang singgah di telinga. Kata-kata sinis tersebut dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus berdiri dan menerima takdir kami," terangnya.

Tidak mahu mengulas panjang mengenai penderitaannya, Sakinah lebih selesa berkongsi kegembiraannya bergelar ibu kepada Sarah.

Mengenali Sakinah sejak zaman pengajian dahulu, apa yang boleh dikatakan bahawa wanita tinggi lampai ini mempunyai karakter yang selamba, tetapi disenangi ramai taulan.

Pun begitu, tatkala berjumpa setelah sekian lama terputus hubungan, ternyata banyak perubahan yang dapat dilihat terutamanya sifat femininnya yang kian menyerlah.

Ditanya mengenai perwatakannya itu, Sakinah mengakui bahawa kehadiran Sarah banyak merubah karakternya yang lebih bersifat keibuan.

“Saya tidak rasakan perubahan itu, tetapi ia adalah maklum balas yang diterima daripada rakan-rakan serta ahli keluarga sendiri. Mungkin ia berlaku secara automatik apabila bergelar ibu.

“Sekarang, saya seronok dengan kesibukan sebagai seorang ibu. Walaupun tidak cukup tidur, saya anggap ia satu pengalaman yang perlu ditempuhi untuk mendewasakan saya," katanya.

Meladeni Sarah, si kecil tidak banyak meragam melainkan kalau kelaparan atau saat lampinnya basah.

“Cuma masalahnya, selepas disusukan, Sarah agak susah untuk tidur. Jadi terpaksalah saya atau Ashraf mendodoinya sambil dibawa berjalan keliling kawasan dalam rumah, barulah Sarah boleh tidur," jelasnya dalam ketawa menceritakan perihal sang puteri.


                                         

SARAH menjadi pengikat kasih antara Ashraf, Sakinah, Dayana serta ahli keluarga yang lain.

Dalam pada itu, Dayana yang sedang menjalani tempoh praktikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilihat semakin kuat menempuhi liku-liku kehidupan berumah tangga, atas bimbingan si suami yang bijak mengemudikan bahteranya.

Pertama kali bersua muka dengan Dayana, langsung tidak melihat bibit-bibit kedukaan di raut wajahnya seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak.

Keceriaan yang ditunjukkan benar-benar telus dan ikhlas. Malah, dia turut berkongsi bahagia dengan kelahiran anak sulung suaminya, yang juga dianggap sebagai anak sendiri.

“Sarah adalah anugerah terindah. Kehadirannya benar-benar memberi makna yang sangat kuat bukan sahaja terhadap hubungan kami bertiga, bahkan jalinan kekeluargaan keluarga besar kami.

“Melihat anak kecil ini membesar saban hari, ia adalah detik yang sangat mengujakan. Sakinah tidak pernah 'kedekut' untuk berkongsi Sarah dan ia membuatkan saya tidak berasa seperti orang asing ketika bersama mereka," ujar Dayana yang sedikit pemalu.

Bakal doktor sakit puan ini turut menjelaskan, dia ada berkongsi pelbagai ilmu pengetahuan kepada Sakinah demi kebaikan bersama.

“Saya yakin, ada hikmahnya kami dipertemukan sekalipun kami perlu hidup bermadu. Di dunia ini, kami saling melengkapi antara satu sama lain. Manisnya lebih terasa berbanding kepahitan yang digembar-gemburkan.

Saya amat bersyukur dijodohkan dengan Ashraf yang sangat bertanggungjawab sebagai suami, dia membimbing kami dengan cara yang paling baik," tambahnya.


Tiada ulasan

jerit kat sini

Dikuasakan oleh Blogger.