Kisah Ziana Zain Jadi Cleaner Masa Zaman Anak Dara

Ada kalanya terkenang cerita masa silam.

BEREK Polis Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor cukup sinonim buat penyanyi Ziana Zain, 46. Di situlah pemilik nama Siti Roziana Zain ini menghabiskan zaman kanak-kanaknya yang penuh warna-warni.
Pada waktu itu mereka sekeluarga berpindah dari Melaka kerana bapanya, Zain Abdullah bertukar ke Balai Polis Kampung Melayu Subang.

Bersama rakan rapat yang juga anak polis bernama Nani, mereka berdua bersama-sama meneroka keistimewaan sekitar Kampung Melayu Subang setiap kali hujung minggu menjelang.

Tidak kira sama ada dengan menunggang basikal milik emaknya, Robiah Abdul atau berjalan kaki, kedua sahabat itu akan membuat rondaan umpama anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Lebih penting lagi, misi rondaan mereka dirancang penuh teliti dan sentiasa berubah setiap minggu.
Semuanya mengikut pemerhatian mereka setiap kali pulang berjalan kaki dari Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Subang.

Sepanjang berjalan kaki sejauh dua batu melalui kawasan kampung, Ziana pasti mengusulkan beberapa agenda. Selalunya Ziana hanya berminat untuk memetik buah-buahan seperti rambutan dan berangan.
Justeru jika ada buah-buahan yang sudah ranum di Kampung Melayu Subang, siaplah. Pasti dengan pantas kedua sahabat itu memetik buah-buahan berkenaan.

Kenakalan Ziana dan Nani juga pernah mendatangkan kemarahan kepada seorang pemilik ladang buah kedondong yang terletak di belakang rumahnya.

Kedua-dua sahabat ini pernah hampir ditangkap gara-gara tidak tahan melihat banyak buah kedondong ranum yang bergantungan di pokok.

Entah dari mana datangnya keberanian Ziana, dia tetap mengambil risiko untuk 'mencuri' buah berkenaan biarpun kawasan ladang itu sudah berpagar dan dikawal oleh seekor anjing.

"Masa kecil-kecil dahulu, memanjat pokok bukan satu masalah yang besar buat saya. Bayangkan pokok kelapa yang tinggi itu pun saya boleh panjat.

"Saya tak memerlukan seluar panjang. Dengan baju kurung atau gaun kembang pun saya boleh panjat," kata Ziana mengenang zaman kanak-kanaknya yang agak nakal dan lasak itu.

Selain itu Ziana juga pernah menangkap ikan laga menggunakan penapis santan milik emaknya selepas dia menjumpai sebuah kolam ikan di dalam sebuah ladang getah sekitar Kampung Melayu Subang.
Sebagai 'peneroka' baharu kawasan kolam ikan itu, Ziana memperolehi hasil tangkapan ikan laga yang banyak. Mengharapkan pujian daripada emaknya di atas 'kejayaan' itu, sebaliknya dia dimarahi kerana penapis santan kotor berlumpur.

"Orang kata hutan atau ladang ada penunggunya. Tapi saya tak takut langsung," kata Ziana yang mengakui didikan bapanya yang membuatkan dia tidak kenal erti gentar.

Selepas 12 tahun tinggal di Kampung Melayu Subang, Ziana kemudiannya berpindah ke berek polis Seksyen 11, Shah Alam sebelum keluarganya berpindah ke Seksyen 19 apabila bapanya membeli rumah di sana.
Rumahnya di Seksyen 19 itu juga menjadi saksi pernikahannya dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri yang mendapat liputan meluas media massa.


Mengimbau kenangan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Ziana mula berdikari. Kerja pertama yang dibuatnya adalah sebagai tukang masak di kantin balai polis Seksyen 11 selama tiga bulan.

Biarpun penat kerana bekerja seawal pukul 5.30 pagi hingga 11.30 malam, Ziana bersyukur kerana mempunyai duit poket sendiri dengan gaji bulanan sebanyak RM175.

Dek kerana sayangkan emaknya Ziana memberikan gaji pertama sebanyak RM100 kepada orang tuanya itu manakala duit baki dibelanjakan untuk membeli tiga pasang baju kurung di sebuah pusat membeli-belah di Klang.

Peluang untuk menimba pengalaman hidup diteruskan apabila Ziana bekerja di sebuah kedai bunga di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam tetapi bukan sebagai penggubah bunga sebaliknya tukang cuci kedai dan hanya mampu bertahan selama sebulan.

Pada usia 18 tahun Ziana yang memiliki sijil dalam bidang pengkomputeran mencuba nasib sebagai kerani. Pun begitu kerja tersebut cuma bertahan selama tiga bulan kerana dia bosan terperap di pejabat.
Selepas itu dia bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang membuat televisyen dan radio di Seksyen 20, Shah Alam dan bekerja selama tujuh bulan sebelum bertukar kerja sebagai juruwang di Coffee House Hotel Quality Shah Alam.

Dengan gaji sebanyak RM400 sebulan, Ziana yang berkerja mengikut syif itu begitu teruja kerana berasakan jumlah itu cukup besar.

"Setiap kali terima gaji, saya ingat dah besar nilainya. Tapi yang saya betul-betul rasa kaya apabila bekerja sebagai pramugari MAS (Malaysia Airlines) pada 1991. Waktu itu gaji saya RM1,300.

"Pernah saya lambak duit gaji pertama saya di depan abah. Saya keluarkan semua duit itu di bank sebab dah terlalu gembira. Abah tersenyum tengok kelakuan saya dan memberi nasihat agar berjimat-cermat," katanya yang bekerja sebagai pramugari selama dua tahun setengah.

Menurut Ziana, dia mengambil keputusan untuk menjadi pramugari selepas dipujuk adiknya, penyanyi Anuar Zain yang terlebih dahulu bekerja di bidang berkenaan.


Ulasan

  1. Menarik gak kisah dia..dah berjaya pun sekarang...tahniah Ziana ..satu nama yang agak besar dalam industri muzik..

    BalasPadam
    Balasan
    1. kenangan lalu mmg indah..pastinya ramai diantara kita yg punya pengalamn pahit manis..

      Padam
  2. Rata2 org yg bjaya adalah krn brbakti pd kdua org tua..

    BalasPadam

Catat Ulasan

jerit kat sini

Catatan popular daripada blog ini

Suami Isteri...Kena Baca Ni..(Sorry..ada unsur2 18sx sikit...sikit jer tau...)

Bila Bersalin,Kena B***l Juga Ke?

Misteri Apa Yang Ada DiBukit Hantu?Lihat!!