a blog full of free information

Pin It

Widgets

Wajah bahagia Noryn Aziz

SEJAK bertudung penuh, Noryn mengakui jiwanya semakin kuat melawan godaan nafsu duniawi. Trend berhijab dalam kalangan artis juga dilihat sebagai trend ke arah kebaikan.

PULANG daripada satu tugasan di Damansara, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, kerlingan tertancap pada deretan majalah hiburan yang tersusun rapi di sebuah rak jualan. Ada sepasang mata mengundang detik di hati. Barangkali sepasang mata itu juga boleh dirakamkan.

Rangkaian cerita isi jiwanya juga sudah lama diintai-intai. Begitu juga dengan rumah tangga yang dibina bersama arkitek ternama, Datuk Raja Bahrin Shah, 56, yang tidak pernah diberi publisiti meluas.

Tanpa banyak andaian, dititipkan sebaris salam. Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), satu permintaan untuk bersua cuba diatur. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, hajat bertemu diizinkan Ilahi. Noryn, 36, yang sekian lama memilih-milih untuk muncul pada sesi fotografi berjaya dirapati.

Noryn Aziz masih Noryn Aziz yang dikenali bertahun-tahun lalu. Bicaranya likat dalam ketawa cuma penampilannya sahaja ketara berubah. Hijab yang menutupi kepalanya juga sudah labuh melepasi paras dada.

Melihat keterbukaan serta keselesaan yang terpancar dari senyuman, ia seperti isyarat untuk mukadimah perbualan melencong ke fasa kehidupan berumah tangga yang dilaluinya kini.
                                                        Noryn Aziz di majlis anjuran Pas

"Rasanya sudah agak lama saya menyepi daripada publisiti, tapi kebanyakan masa, saya ada di Kuala Lumpur, saya mengajar muzik di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) dan persembahan korporat. Sebelum ini, saya lebih selesa untuk tidak bercakap soal peribadi.

"Sekarang sedikit berbeza. Rasanya saya sudah mula terbuka. Terbuka itu pula tidak semestinya saya boleh bercerita tentang perkara yang terlalu peribadi," matanya melirik tenang sambil menyambung selingkar kisah.

Hendak disebut sebagai rahsia, ia bukan lagi rahsia, cuma kenyataan terbuka daripada mulutnya yang ditunggu-tunggu. Kata Noryn, mereka berkahwin pada awal tahun 2010.

"Dia (suami) seorang yang tegas dan sangat mahu menjaga maruah wanita yang menjadi isterinya. Dia tidak mahu apabila jika terlalu banyak cerita, akan keluar pula cerita yang tidak sepatutnya.

"Sekarang saya tenang untuk berkongsi. Perkara (perkahwinan) pun bukan sesuatu yang rahsia. Saya patut akur bahawa masyarakat mahu tahu dan rasanya saya pun tidak berahsia.

"Sekarang ialah masa yang paling sesuai," kongsi Noryn yang mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri fasa bahagianya.

Keredaan Ilahi

Tambah Noryn juga: "Cinta itu anugerah Ilahi tetapi apa yang mengikat kami untuk bersama sebagai suami isteri ialah pegangan agama yang dia miliki. Saya tahu, saya jenis yang mudah terpengaruh dan saya perlukan lelaki sepertinya untuk membimbing.

"Dia juga seorang yang lembut, berbeza sedikit dengan karakter saya yang agak kasar sebelum ini. Rasanya sekarang saya banyak mengikut cara suami."

Masih lagi berputar dalam kisah yang selama ini kemas dalam lipatan. Perkenalan yang membawa kepada ikatan perkahwinan bersama lelaki bernama Raja Bahrin itu minta dikongsikan.

"Saya mulanya tidak tahu tentang kisah lampau Raja Bahrin sehinggalah perkara itu diceritakan sendiri olehnya. Dari mula kenal hingga berkahwin, kami banyak bercakap mengenai muzik dan agama.

"Dia sangat menekankan bab agama dan itulah memudahkan hijrah saya ketika ini," beritahu Noryn bahawa dia sudah mula berhitung tentang perubahan yang dilalui hari ini sejak hampir empat tahun lalu.

Raja Bahrin pernah menggemparkan negara pada tahun 1992 apabila membawa pulang dua orang anaknya, Raja Shahirah dan Raja Mohamad Baharuddin daripada jagaan bekas isterinya, Jacqueline Pascarl-Gillespie dari Australia ke Malaysia menggunakan jalan laut.
GAMBAR terbaharu Noryn Aziz bersama suami, Raja Bahrin Shah. Pasangan kini kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu.

Tambah Noryn: "Kehidupan kami simple. Apa yang penting, kami ada persefahaman dan bersama-sama mencari keredaan Allah."

Kata Noryn, dia pernah menolak peluang publisiti kerana memikirkan hal rumah tangga yang sedang 'dijaga.'

"Saya rela hilang publisiti kerana beralih kepada kebaikan. Pada tahun 2010, sebenarnya saya ada keluar dengan sebuah album bertajuk I'm Alright.

"Hendak kata saya mengorbankan karier demi perkahwinan, rasanya tidak sebab saya masih menyanyi untuk korporat," jelas Noryn yang menggilap kemilau sejak tampil dengan album Alam Maya pada November 2006.

Selari dengan hijrah yang sedang dilalui, pemilik nama sebenar Norazmahwati Abdul Aziz ini juga mahu mencari titik tembung kepada perbezaan pendapat berhubung nyanyian dan syariat yang harus dituruti seorang wanita Islam.


"Untuk saya kembali dan betul-betul buat kemunculan semula, rasanya belum lagi. Sekarang saya dalam proses untuk mendalami Islam.

"Saya sendiri semakin memilih jika diberi tawaran persembahan, konsep dan acara majlis itu juga harus saya teliti terlebih dahulu.

"Tapi, saya yakin pasti ada jalan untuk saya dalam bidang nyanyian ini. Muzik itu indah dan saya percaya ilhamnya datang daripada Allah," katanya yang membayangkan untuk condong ke arah penghasilan lagu-lagu berbentuk kerohanian suatu masa nanti.

Taubat
                                      Noryn dan suaminya, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah


Dari satu pendapat yang mudah, wanita pertengahan umur 30-an itu sedang berada di sebatang jalan yang jauh berbeza berbanding zaman yang pernah memperkenalkan siapa dirinya.

Ayat-ayat yang terpacul dari bibirnya penuh perhitungan dan muhasabah diri.

"Dulu saya tidak ambil berat soal aurat, saya tak fikir pun soal itu. Apa yang ada dalam fikiran saya cuma mahu kelihatan moden sahaja.

"Begitu juga dengan solat lima waktu dan hidup yang mengejar duniawi. Aurat pula bukan sekadar rambut tapi seluruh tubuh badan. Kalaulah masa itu boleh diundur, saya mahu hapuskan rakaman dan gambar-gambar yang tak sepatutnya dulu.

"Tapi, syukurlah saya diberi kesedaran. Syukur juga sebab saya dianugerahkan seorang suami yang ambil berat soal pakaian," katanya yang tidak berlebih bercakap soal hidayah.

Tidak menuding jari kepada sesiapa, Noryn faham setiap perkara yang baik serta ilmu agama itu haruslah dikongsi walaupun sepotong ayat. Sedar dan mengenal siapa dirinya, kata Noryn:

"Kita tidak tahu di mana takdir kita suatu hari nanti. Apa yang akan berlaku pada hujung hayat kita nanti pun kita tidak boleh rancang. Saya berdoa agar seseksi mana pun saya dulu, harap taubat saya diterima Allah.

"Golongan artis pula sepatutnya lebih berpengalaman dari segi perbuatan 'lagha' (sia-sia). Sebelum bercakap, kenalah ada ilmu dan jangan merendah-rendahkan orang lain."



Noryn Aziz atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz berasal dari Petaling Jaya Selangor, pernah menganggotai Kumpulan Sister Sister tetapi tidak berapa dikenali, mempunyai album solo bertajuk Fantasi Realiti . Noryn berkelulusan Sarjana Muda Muzik dari International College Of Music (ICOM).

2 comments:

  1. Alhamdulillah, seronok tengok artis2 skrg lebih mementingkan agama dari populariti.

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah. lega rasanya apabila mendengar ulasan noryn aziz. hati saya juga tersentuh

    ReplyDelete

jerit kat sini

 
Top