Cahaya Malaika persis pelangi, tidak jemu dipandang makin lama semakin asyik.

KEHADIRAN Cahaya Malaika umpama pelangi buat pasangan sehati sejiwa, Asmawi Ani atau Mawi dan Nora’Ashikin Rahmat (Ekin). Tatkala kali pertama menatap wajah bayi comel itu pada 28 Februari lalu, mengalir deras rasa kasih yang tidak terhitung.

Cahaya persis pelangi, tidak jemu dipandang dan semakin lama semakin asyik. Lima bulan berlalu, jalinan cinta antara tiga insan ini semakin utuh, bahkan nuansa Cahaya makin berseri.


Tidak hairan mengapa lebaran kali ini lebih bermakna bagi Mawi dan Ekin. Ketika berkunjung ke kediaman pasangan ini yang memeterai ikatan perkahwinan pada 20 Disember 2008, baik Mawi mahupun Ekin rancak berganding bahu mengemas keperluan yang perlu dibawa untuk pulang ke kampung halaman.

Seakan-akan memahami kesibukan ayah bonda, Cahaya sedikitpun tidak meragam, malah tatkala disarungkan gaun rona ungu, si kecil cukup tenang.


Sambil menyusun beg disiapkan Ekin, Mawi berkata, dia dan Ekin sepakat bercuti dua minggu kerana mahu menghabiskan lebih banyak masa menziarah sanak saudara di Johor dan membawa keluarga bercuti yang menjadi acara wajib saban tahun.





 “Terasa sangat istimewa bila ada Cahaya. Persiapan pun berbeza kerana tumpuan lebih diberikan kepada Cahaya. Biasalah anak pertama, serba-serbi mengenainya buat kami teruja. Bukan saja kami, ibu mentua saya pun sama.

“Bayangkan, belumpun puasa, dia jahitkan tiga baju kurung untuk Cahaya. Itu belum campur lagi baju kasual yang saya dan Ekin belikan.

“Untuk diri sendiri, saya dan Ekin ala kadar saja. Cukuplah dua pasang baju untuk dipakai pada hari raya pertama dan kedua.

“Soal beraya di mana dulu tak ada masalah sebab rumah keluarga saya dan Ekin tak jauh. Itulah untungnya bila berkahwin orang satu negeri. Sebelah pagi, kami akan beraya di rumah keluarga Ekin dulu, kemudian ke rumah keluarga saya pula,” katanya sambil mengagah buah hatinya.

Tambah juara Akademi Fantasia musim ketiga ini, kesempatan lebaran kali ini juga akan digunakan sebaik-baiknya untuk memperkenalkan Cahaya kepada saudara mara.

Biarpun kerap pulang ke Johor namun bukan dapat bertemu semua saudara mara, oleh itu Aidilfitri menjadi medan pertemuan terbaik.

Lebih seronok apabila kali ini dapat membawa puteri kesayangannya bercuti bersama keluarga yang menjadi agenda wajibnya setiap tahun. Seperti biasa, destinasi percutian akan diputuskan selepas berbincang dengan kedua-dua keluarga pada hari raya nanti. Kata Mawi, setiap kali menyambut raya, dia akan membawa keluarga bercuti.

“Memang seronok bila dapat berkumpul ramai-ramai sambil menikmati keindahan tempat dikunjungi. Memandangkan keluarga kami besar, kami akan menyewa bas.

“Tahun lalu kami ke Cherating, Kuantan selama tiga hari dua malam. Kami bertolak dari Johor pada hari raya kelima. Tahun ini kena ikut suara majoriti. Mana saja destinasi pilihan mereka, saya tidak kisah, asalkan sesuai untuk bawa Cahaya.


 “Biasanya, apabila bercuti saya akan anjurkan macam-macam aktiviti, termasuk sukaneka, BBQ dan pertandingan karaoke. Dengan adanya Cahaya, pastinya percutian ini lebih terasa keseronokannya,” kata jejaka yang pernah menjadi fenomena dalam industri tanah air pada awal kemunculannya.

Meskipun auranya tidak lagi sehebat dulu, putaran roda seninya tidak pernah terhenti. Sentiasa ada tawaran menjayakan persembahan, bahkan anak jati Felda Taib Andak ini semakin rancak menerbitkan telefilem dan drama menerusi syarikatnya, MW Entertainment Sdn Bhd.


Sisi matang jejaka ini terserlah tatkala membicarakan perihal karier dan perancangan masa depan syarikatnya. Sempena lebaran, jelas Mawi, MWE menerbitkan telefilem Siapa Dapat Lisa untuk saluran Astro Prima pada 20 Ogos ini.

Komedi ringan yang dibintangi Jep dan Shuib Sepah 2, Yasmin Hani, Abun serta Didie Alias ini diarahkan oleh Mawi, manakala skripnya ditulis Budi Hikayat.

“Percubaan saya mengarah telefilem Paknil Ibu Kirim Salam dengan dibantu seorang lagi pengarah memberi keyakinan kepada diri untuk mencuba lagi. Kali ini ambil langkah berani buat sendiri dan syukur saya semakin selesa.

“Siapa Dapat Lisa judul asalnya sempena single Sepah 2 yang dicipta M Nasir dan liriknya oleh Budi Hikayat. Budi yang cadangkan supaya hasilkan telefilem dan bila saya usulkan kepada Astro, mereka suka.

“Telefilem ini mengisahkan dua sahabat yang mengusahakan bengkel kereta jatuh hati dengan wanita sama bernama Lisa. Macam-macam usaha yang mereka lakukan dalam usaha memenangi hati Lisa, termasuk cuba rapat dengan ibu bapa wanita cantik itu.
“Selain telefilem ini, saya akan terbitkan program raya Carta 30 Terbalik,” katanya yang muncul dengan album baru, Asmaulhusna terbitan Arteffects International bersama MW Entertainment Sdn Bhd dan disokong Astro Entertainment Sdn Bhd yang mengandungi sembilan trek alunan syahdu 99 nama Allah.



Pada pertemuan kali ini, Mawi tidak ketinggalan mempromosikan kemeja T terbitan syarikatnya yang tertera tulisan khat unik rekaannya.

Jelas Mawi, ada pelbagai pilihan warna, malah mereka yang berminat boleh menempah tulisan dan dia akan mencipta khat berdasarkan permintaan pelanggan. Tempahan boleh dibuat melalui laman sosial twitter dan facebook miliknya.


Ekin bantu ibu jual biskut

SEPANJANG Ramadan ini, Ekin sibuk membantu ibunya menyiapkan tempahan biskut makmur tart dan makmur. Biskut buatan ibunya mendapat sambutan setiap kali tiba musim perayaan, malah ada ramai pelanggan tetap.

Menerusi promosi daripada mulut ke mulut, permintaan meningkat berkali ganda tahun ini hingga mereka tidak menang tangan. Ekin terpaksa meminta bantuan kakak dan adiknya untuk sama-sama membantu menyiapkan biskut yang ditempah.

“Jadi rutin setiap kali puasa, mak ambil tempahan biskut raya. Tahun ini mak berpuasa di rumah saya kerana membantu menjaga Cahaya, jadi bila dia suarakan mahu buat biskut raya, saya bersetuju membantunya.

“Tahun ini paling banyak tempahan. Kami kena berjaga hingga subuh untuk siapkan tempahan dan selepas solat baru dapat tidur.

“Awal Ramadan memang sangat sibuk sebab pelanggan mahu biskut awal dan biasanya minggu terakhir baru kami dapat berehat.

“Alhamdulillah, semua tempahan diambil pelanggan, cuma yang ada dalam tangan Ekin sekarang tempahan yang perlu dibawa pulang ke Johor.

“Nampak gayanya, kereta kami nanti penuh dengan kuih raya,” katanya yang akan melancarkan produk makanan kesihatan UniQuin, jus IQ dan produk kecantikan
yang diusahakan bersama kembarnya, Ain selepas sambutan Aidilfitri.


Ulasan

  1. tuto nak tukar kaler kat bahagian tepi tue...nie link...

    http://tutorial-bloglist.blogspot.com/2012/05/tutorial-sidebar-border-style-special.html

    BalasPadam

Catat Ulasan

jerit kat sini

Catatan popular daripada blog ini

Suami Isteri...Kena Baca Ni..(Sorry..ada unsur2 18sx sikit...sikit jer tau...)

Bila Bersalin,Kena B***l Juga Ke?

Misteri Apa Yang Ada DiBukit Hantu?Lihat!!